Berita SemasaRencana

Sejak Utusan Melayu tutup, penderitaan kami tiada bernoktah

BAGAIKAN jatuh ditimpa tangga. Itulah kata-kata yang sering terungkap dalam kalangan warga media yang mengenali bekas wartawan Utusan Malaysia, Muhammad Basir Abu Bakar, 46.

Ujian demi ujian yang menyinggah umpama tiada bernoktah. Bermula dengan penutupan syarikat tempat beliau bekerja, bapa kepada tiga orang anak itu kemudian diuji dengan masalah jantung, memaksa beliau berulang-alik ke hospital.

Dalam kesibukan mencari rezeki untuk menyara kehidupan selepas kehilangan punca pendapatan, isteri Muhammad Basir iaitu Noor Azlina Jaafar, yang juga bekas kakitangan Utusan Melayu meninggal dunia pada Oktober 2023.

Noor Azlina meninggal dunia selepas beberapa hari demam akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Sebelum itu, arwahlah yang gigih menguruskan anak-anak yang masih bersekolah dan menjalankan perniagaan tempahan makanan secara kecil-kecilan.

Minggu lalu, Muhammad Basir sekali lagi dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung dan disahkan mengalami beberapa komplikasi lain termasuk hati dan buah pinggang.

Namun ujian yang menimpa bekas pemenang Hadiah Kewartawanan 2005 (Institut Akhbar Malaysia) itu tidak terhenti di situ.

Dua hari lalu, Muhammad Basir dikejutkan pula dengan berita pemergian ayah mertuanya (bapa Noor Azlina) yang menghembuskan nafas sehari selepas pulang daripada melawat beliau di Hospital Serdang.

Bagi rakan-rakan terdekat yang mengikuti perjalanan hidup beliau, perkembangan terbaharu itu sudah tentu menjadi khabar yang tidak tertanggung.

Petang tadi, penulis berkesempatan melawat Muhammad Basir di wad selepas menerima perkhabaran daripada anak sulungnya Nur Iman Zahra, 15, yang memaklumkan tahap kesihatan ayahnya semakin merosot.

“Ayah ditahan ke wad minggu lalu ketika datang kerana sakit dada. Doktor kata ada masalah pada jantung, buah pinggang dan hati.

“Dengar pada apa yang doktor cakap saya risau dan takut. Keadaan sangat tidak baik sebenarnya.

“Minta bagitahu kawan-kawan pasal ayah dan doakan dia sihat semula,” kata Zahra dengan air mata berlinangan.

Ditanya mengenai persiapan persekolahan mereka bertiga, Zahra berkata, masih ada perkara yang tidak sempat diuruskan walaupun perkara-perkara penting telah diselesaikan.

Pengarang Berita Malaysia Tribune, Abd. Halim Hadi menyerahkan sumbangan persiapan persekolahan kepada Muhammad Basir yang kini dirawat di Hospital Serdang, Kuala Lumpur.

Selepas menghulurkan sumbangan persiapan persekolahan Malaysia Tribune kepada Zahra, saya meninggalkan Muhammad Basir dengan penuh rasa pilu, mengharapkan kesembuhan segera untuknya.

Keperitan hidup Muhammad Basir sebelum ini pernah mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarganya dalam beberapa pertemuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button