Berita Semasa

Malaysia, Mesir senada tolak cadangan halau rakyat Palestin dari Gaza

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin terutama membabitkan bantuan kemanusian dan perubatan.

Anwar berkata, Malaysia juga komited untuk membantu membangunkan semula, di samping tekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin. 

“Alhamdulillah saya dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza.

“Langkah ini bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu Anwar telah menghubungi Presiden Mesir itu dan berbincang mengenai perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.

Dalam pada itu Anwar turut zahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden Mesir itu dan kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudahkan usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan terhadap rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel.

“Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

“Gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banya negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini.

“Saya dan Presiden El-Sisi juga sempat bicarakan soal hubungan dua hala Malaysia-Mesir. Kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button