Berita Semasa

Kementerian Perpaduan komited perkukuh keharmonian antara agama

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara terus memberi fokus terhadap usaha memperkukuh keharmonian antara penganut agama menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara terus terjamin.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, antara usaha utama yang telah diambil ialah penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) yang dianggotai oleh wakil pemimpin agama bagi membincangkan isu-isu berkaitan perpaduan secara menyeluruh.

“Kementerian juga telah melancarkan Inisiatif Harmoni MADANI pada April 2024 yang merangkumi pelbagai program bagi memupuk kesefahaman dan memperkukuh hubungan antara penganut pelbagai agama,” katanya dalam satu hantaran di laman X semalam.

Antara program yang dilaksanakan ialah Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, Dialog Harmoni, Jejak Harmoni, Podcast Bicara Harmoni, Dokumentari Jejak Harmoni, Wacana Harmoni dan Sambutan Hari Toleransi Sedunia.

Menurut beliau, kementerian turut mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi menangani pelbagai isu sensitif berkaitan agama.

“Antara sesi yang pernah diadakan ialah Sinergi Advokasi Pemakanan Kanak-Kanak yang memperkasakan peranan rumah ibadat dalam menyampaikan mesej mengenai masalah pemakanan, selain perbincangan mengenai isu kuil di tapak Hospital Kuala Lumpur dan penempatan kader JAKIM di agensi-agensi kerajaan,” katanya lagi

Dalam memastikan setiap inisiatif itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, kementerian turut menubuhkan tiga biro khas di bawah JK HARMONI, iaitu Biro Pengurusan Program dan Promosi, Biro Pendidikan dan Penerangan serta Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi.

Selain itu, Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama (BKAPA) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional turut memainkan peranan penting dalam menyelaras usaha perpaduan di seluruh negara.

Aaron turut berkata, kementerian sentiasa bersedia untuk menyelaraskan isu-isu berkaitan penganut agama di negara ini agar keharmonian rakyat terus dipelihara.

Beliau turut menekankan kepentingan sikap saling memahami, menghormati dan menerima perbezaan sebagai kunci utama dalam mengekalkan perpaduan di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button