Berita SemasaBisnes & Ekonomi

KDNK 2024 Malaysia melonjak kepada 5.1 peratus, defisit fiskal susut ke 4.1 peratus

PUTRAJAYA – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia melonjak kepada 5.1 peratus pada 2024 berbanding 3.6 peratus pada 2023, melebihi unjuran awal kerajaan sebanyak 4 hingga 5 peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani berjaya mengatasi sasaran defisit fiskal bagi tahun 2024 iaitu 4.1 peratus (2023: 5 peratus) berbanding sasaran 4.3 peratus.

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan dan kesungguhan Kerajaan Madani untuk mengubah ekonomi Malaysia, dipacu oleh dasar yang jelas dan progresif yang diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka Ekonomi Madani serta disokong oleh kestabilan politik.

“Menjelang tahun 2025, Kerajaan Madani kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pertumbuhan ekonomi pada tahun 2024 didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam penggunaan swasta meningkat sebanyak 5.1 peratus berbanding 4.7 peratus pada 2023.

“Pelaburan meningkat sebanyak 12 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2023, manakala
jumlah dagangan meningkat sebanyak 9.2 peratus kepada RM2.88 trilion, selain aliran masuk pelaburan langsung asing bersih pula sebanyak RM47.4 bilion berbanding RM40.4 bilion pada 2023.

“Selain itu, penunjuk sokongan lain yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2024 termasuk, inflasi menyederhana kepada 1.8 peratus berbanding 2.5 peratus yang direkodkan pada 2023.

“Kadar pengangguran yang rendah pada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada 2023 dengan trend menurun kepada 3.1 peratus pada Disember 2024, terendah dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, Kerajaan Madani telah mengunjurkan ekonomi berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tahun 2025.

Jelasnya, ia didorong oleh limpahan yang lebih besar daripada kitaran menaik teknologi, pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek infrastruktur kritikal dan pemangkin serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak.

“Di bawah Belanjawan 2025, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan secara kolektif telah bertekad untuk melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada lima tahun dan pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR- uP),” katanya.

Selain itu, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam dijangka akan terus merangsang pertumbuhan ekonomi.

Namun begitu, permintaan luaran yang lebih lemah daripada rakan dagang utama, peningkatan ketegangan geopolitik dan langkah-langkah perlindungan perdagangan boleh mendatangkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi.

Bagi tahun 2024, penambahan pinjaman bersih Kerajaan menurun kepada RM76.8 bilion, pengurangan ketara berbanding RM92.6 bilion pada tahun 2023.

Kerajaan Madani komited untuk meneruskan pelaksanaan pembaharuan utama dalam pelbagai bidang untuk mengukuhkan kemampanan fiskal jangka masa panjang melalui langkah-langkah penyasaran subsidi, kutipan hasil yang dipertingkatkan dan rangka kerja fiskal yang lebih kukuh.

“Usaha ini selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu mengurangkan defisit fiskal kepada 3 peratus dalam jangka masa sederhana untuk kemampanan kewangan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button