
Imam surau FGV Palong 18 maut kemalangan selepas pimpin solat Isyak
JEMPOL – Seorang imam Surau Darul Hijrah, Ladang FGV Palong 18, maut dalam kemalangan selepas selesai mengimamkan solat Isyak, kelmarin.
Mangsa, Mohd Najmuddin Shapie, 31, atau lebih dikenali sebagai Ustaz dalam kalangan pekerja ladang, terkorban selepas kereta Perodua Axia dipandunya bertembung dengan dua kenderaan lain di Kilometer 6, Jalan Bahau-Rompin, kira-kira pukul 9.05 malam.
Kejadian itu turut meragut nyawa empat individu lain termasuk tiga pelajarnya.
Kenalan mangsa, Syahrul Azmi Hamid berkata, Allahyarham bekerja sebagai imam di surau ladang selain bertugas sebagai kakitangan FGV dan mengajar mengaji.
Menurutnya, pada malam kejadian, arwah sempat mengajak pelajarnya ke Bandar Bahau untuk makan sebelum terlibat dalam kemalangan beberapa kilometer dari destinasi yang dituju.
“Solat Isyak berjemaah itu menjadi yang terakhir dipimpin arwah. Kehilangannya amat dirasai, terutama oleh pekerja ladang.
“Selain menjadi imam, kadangkala arwah juga menjadi muazzin dan saya sangat mengenali suaranya kerana rumah saya berhampiran surau,” katanya memetik HM online.
Syahrul berkata, Allahyarham seorang yang mesra dan amat menyayangi kanak-kanak yang belajar mengaji dengannya.
“Arwah selalu mengajak pelajarnya keluar makan. Kehilangannya bukan sahaja dirasai oleh pekerja ladang dan pengurusan, malah pelajar-pelajarnya termasuk anak saya sendiri.
“Anak saya yang berusia 16 tahun kini sudah mampu memimpin bacaan tahlil hasil tunjuk ajar arwah,” katanya lagi.
Menurutnya, arwah juga seorang yang ringan tulang dan sering membantu tugasan di pejabat sekiranya tiada program di surau.
“Dua hari sebelum kejadian, saya melihat arwah termenung di depan surau sambil membelek kipas, tetapi saya tidak sempat menegurnya,” katanya lagi.
Tambahnya, arwah sering mengadakan majlis tahlil setiap malam Jumaat dan ramai pekerja ladang menghadirinya.
“Beliau seorang yang suka berkongsi ilmu dan pemergiannya satu kehilangan besar buat komuniti di sini,” katanya lagi.
Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan dan pemergiannya meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat setempat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |