
Yayasan Kebajikan Negara sumbang RM300,000, ringankan beban mangsa banjir di Sarawak
KUCHING – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyalurkan sumbangan Bantuan Bencana Banjir Sarawak 2025 sebanyak RM300,000 kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebagai usaha membantu penduduk yang terjejas di negeri itu.
Majlis penyerahan bantuan kewangan tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Datuk Seri Nancy Shukri kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Menurut Nancy, bantuan itu hasil sumbangan pihak korporat dan individu yang prihatin terhadap mangsa bencana serta sebagai tanda solidariti YKN kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan mangsa banjir.
“YKN akan terus komited menyokong usaha-usaha kerajaan dalam aspek kebajikan masyarakat termasuk membantu mangsa bencana.
“Sumbangan ini disalurkan menerusi Kerajaan Negeri supaya dapat diagihkan secara menyeluruh dan bersasar di kawasan-kawasan yang terjejas.
“Diharapkan ia dapat meringankan beban keluarga yang terkesan serta memberikan dorongan untuk mereka bangkit semula dari musibah ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa YKN tidak hanya memfokuskan kepada bantuan segera sekali gus memberi perhatian kepada bantuan pasca banjir, bertujuan membantu mengurangkan beban mangsa yang terlibat.
Selain bantuan kepada Sarawak, YKN juga akan menyampaikan sumbangan kepada Kerajaan Negeri Sabah minggu depan.
Bantuan itu adalah sebahagian daripada komitmen YKN untuk terus membantu semua negeri yang terjejas oleh bencana banjir.
“YKN telah menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Semenanjung Malaysia melalui Pejabat Zon YKN menerusi bantuan bakul makanan dan barang keperluan,” tambah Nancy lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang sama ada bentuk wang tunai, barangan atau tenaga dalam menyantuni kumpulan sasar YKN.
“YKN amat menghargai sumbangan daripada pihak korporat dan individu yang prihatin. Kami berharap lebih banyak pihak akan tampil menyokong usaha murni ini.
“Bersama-sama kita dapat membantu mangsa banjir melalui saat-saat yang mencabar ini,” ujarnya.
Beliau juga menyeru lebih ramai pihak korporat dan individu agar tampil menghulurkan sumbangan melalui YKN.
“Setiap sumbangan yang diterima akan diberikan resit pengecualian cukai. Orang ramai dan pihak korporat yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi Unit Dana dan Komunikasi Korporat YKN untuk maklumat lanjut,” jelasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |