
Wanita didakwa tipu isteri Along Cham dituduh di mahkamah
BANGI – Seorang wanita dikenali sebagai ‘Ika’ hari ini didakwa di mahkamah atas pertuduhan menipu isteri pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi sebanyak RM105,380 dengan menjanjikan untuk menjamin keluar dan menurunkan seksyen pertuduhan dalam kes dadah yang dihadapi pelawak itu, hujung tahun lalu.
Tertuduh, Nursyafiqah Hermansah, 28, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi, di Mahkamah Majistret sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa menipu Afreena dengan memperdayakannya bagi menjamin keluar serta menurunkan seksyen pertuduhan terhadap suaminya.
Perbuatan itu mendorong mangsa membayar wang berkenaan kepada tertuduh melalui 26 transaksi ke lima akaun berbeza, yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdaya.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Bangi Gateway, Seksyen 15, di sini pada jam 6.06 petang, 22 Disember 2024 hingga jam 1.24 petang, 14 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi, mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Kim Kiek, merayu supaya kadar jaminan dikurangkan kerana tertuduh perlu menyara tiga anak yang berusia tiga, lima dan lapan tahun.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Nurdiyanah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |