
MARA timbang taja pelajar perubatan, pergigian, farmasi ke Al-Azhar
KAHERAH – Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam perbincangan untuk meluaskan tajaan pelajar Malaysia ke Universiti Al-Azhar, Mesir bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.
Langkah itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Bumiputera untuk mengejar impian mereka di salah sebuah institusi pengajian tinggi berprestij dunia.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diutarakan beliau semasa pertemuan bersama Presiden Universiti Al-Azhar, Prof Dr. Salamah Abu Daud di Pejabat Presiden universiti berkenaan di Kaherah.
Perbincangan tersebut turut melibatkan usaha memperkukuh hubungan antara MARA dan Universiti Al-Azhar serta memperluas kerjasama untuk pelajar tajaan MARA.
“Sebelum ini Universiti Al-Azhar sinonim dengan pengajian Islam, tetapi kini MARA turut mempertimbangkan penghantaran pelajar Malaysia ke dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.
“Kami juga berbincang mengenai pengurangan kos yuran pengajian dan memohon diskaun khas untuk pelajar tajaan MARA,” ujar Dr. Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut menekankan komitmen MARA dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa, khususnya bagi pelajar berpotensi tinggi tetapi memerlukan sokongan kewangan untuk merealisasikan impian mereka.
“Semoga usaha ini dapat melahirkan lebih ramai generasi profesional berjiwa Ulul-Albab yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” tambahnya.
Jika perbincangan ini membuahkan hasil, lebih ramai anak muda Malaysia akan berpeluang menimba ilmu di Universiti Al-Azhar dalam pelbagai bidang sekali gus menjadikan institusi itu sebagai medan utama membangunkan potensi intelektual dan sahsiah mereka.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |