Berita SemasaDalam Negeri

Malaysia sasar RM3.6 bilion hasil industri pusat data menjelang akhir 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia berhasrat muncul sebagai hab pusat data terkemuka di rantau Asia-Pasifik dengan sasaran hasil industri sebanyak RM3.6 bilion menjelang akhir 2025, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, sasaran tersebut berdasarkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan industri pusat data di Malaysia, dengan rancangan peluasan yang kukuh daripada pengendali sedia ada.

Katanya, bagi menyokong visi itu, Garis Panduan Perancangan Pusat Data (GPP) yang baru diluluskan oleh Kabinet dijangka membantu mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan perancangan bagi pembangunan pusat data.

Tambah beliau, garis panduan antara lain turut menyediakan prosedur perancangan tapak yang jelas bagi memudahkan urusan perniagaan serta menyokong ekosistem industri pusat data secara menyeluruh.

“Ia turut menekankan perancangan lokasi strategik agar pembangunan pusat data selaras dengan zon guna tanah yang ditetapkan.

“Pendekatan ini penting untuk mengimbangi pertumbuhan industri dengan kesejahteraan komuniti,” kata dalam kenyataan sempena Persidangan Pusat Data Siemens 2025 yang dianjurkan Siemens, bersama Malaysiakini, Digital News Asia dan KiniEvents.

Gobind Singh Deo ketika hadir pada Persidangan Pusat Data Siemens 2025 hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa aspek kelestarian alam sekitar akan kekal menjadi keutamaan Kementerian Digital dalam pembangunan pusat data.

Namun menurut Gobind, dalam usaha membangunkan ekosistem pusat data yang komprehensif, kerajaan menyedari beberapa cabaran termasuk keperluan memperkukuh bakat tempatan, meningkatkan perkhidmatan awan, menambah kapasiti tulang belakang IP dan kabel dasar laut, serta memperluaskan akses kepada sumber pra-fabrikasi.

“Kerajaan komited untuk bekerjasama dengan pihak industri bagi merangka strategi yang berkesan dalam menangani isu-isu ini,” jelasnya.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru semua pihak untuk bekerjasama secara terbuka, berkongsi pandangan dan mencari penyelesaian inovatif dalam merealisasikan masa depan pusat data Malaysia yang mampan dan berdaya saing.

“Bersama-sama kita boleh mengharungi landskap yang semakin berkembang ini sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Persidangan Pusat Data Siemens 2025 dihadiri oleh pemimpin industri dan pakar teknologi dari dalam dan luar negara, menjadikannya platform penting untuk membincangkan hala tuju masa depan pusat data di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button