
Lebih 350 pendeta, karyawan dan aktivis Yahudi kutuk, bantah cadangan Trump keluarkan penduduk Gaza
NEW YORK – Lebih 350 pendeta Yahudi, bersama para karyawan dan aktivis Yahudi menandatangani iklan dalam akhbar berpengaruh New York Times hari ini, mengutuk dan membantah cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan kesemua penduduk Tebing Gaza daripada wilayah berkenaan.
Iklan itu ditandatangani golongan pendeta termasuk Sharon Brous, Roly Matalon, dan Alissa Wise, serta tokoh kreatif dan aktivis Yahudi seperti Tony Kushner, Ilana Glazer, Naomi Klein, dan Joaquin Phoenix.
Iklan tersebut berbunyi “Trump telah menyeru pengusiran semua rakyat Palestin dari Gaza. Umat Yahudi menolak pembersihan etnik!” lapor the Guardian.
Iklan ini muncul susulan cadangan Trump untuk “mengambil alih Gaza” dan memindahkan kesemua 2 juta penduduk wilayah itu ke negara lain.
Trump pada masa yang sama menyeru Jordan, Mesir, dan negara Arab lain supaya menerima pelarian Palestin – satu cadangan yang mendapat kecaman luas dari negara-negara Arab dan sekutu lain, serta disifatkan sebagai satu bentuk pembersihan etnik.
Cody Edgerly, pengarah kempen ‘In Our Name Campaign’ dan salah seorang penganjur iklan tersebut, berkata bahawa iklan tersebut diterbitkan pada “saat kritikal apabila garis politik yang dahulunya dianggap tidak boleh diubah kini semakin berubah dengan kembalinya pakatan Trump-Netanyahu”.
“Pesanan kami kepada rakyat Palestin ialah anda tidak bersendirian, perhatian kami tidak pernah luntur, dan kami berikrar untuk berjuang dengan setiap nafas yang kami ada bagi menghentikan pembersihan etnik di Gaza,” katanya lagi.
Sementara itu, Rabbi Yosef Berman dari New Synagogue Project berkata Trump menagnggap dirinya tuhan yang mempunyai kuasa untuk memerintah, dan mendominasi negara dan juga dunia.
“Trump bukan tuhan dan tidak boleh merampas maruah hakiki rakyat Palestin atau merampas tanah mereka untuk keuntungan hartanah.
“Keinginan Trump untuk membersihkan etnik Palestin dari Gaza adalah tindakan yang sangat keji dari segi moral.
“Pemimpin Yahudi menolak cubaan Trump untuk meraih keuntungan daripada pemindahan secara paksa dan penderitaan, dan mereka mesti bertindak untuk menghentikan jenayah keji ini,” tambah Berman.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |