Berita Semasa

Kerajaan digesa kaji semula SOSMA, mansuh peruntukan zalim – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan supaya meneliti semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tahun ini bagi memansuhkan peruntukan yang disifatkan sebagai zalim dan drakonian.

Menurutnya, langkah itu penting bagi membuktikan komitmen kerajaan perpaduan terhadap pembaharuan institusi serta memastikan undang-undang selari dengan prinsip hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

“Tangkapan terhadap Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung mogok lapar keluarga tahanan SOSMA adalah membimbangkan.

“Ia menekankan keperluan untuk memenuhi janji Pakatan Harapan (PH) bagi memansuhkan undang-undang yang bermasalah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pernah menyatakan pada Disember 2022 bahawa SOSMA boleh disemak dan dipinda pada masa hadapan.

Malah ketika menjadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menolak lanjutan Seksyen 4(5) SOSMA selama lima tahun dalam sesi Parlimen pada Mac 2022.

“Seksyen 4(5) membolehkan seseorang ditahan sehingga 28 hari untuk siasatan tanpa akses kepada mahkamah.

“Selain itu, beberapa peruntukan lain seperti Seksyen 6, 13, 14 dan 30 turut bermasalah kerana sifatnya yang menindas dan bertentangan dengan prinsip keadilan,” katanya lagi.

Jelasnya, Seksyen 6 berkaitan dengan pintasan komunikasi, manakala Seksyen 13 memperuntukkan tahanan berterusan tanpa keperluan jelas, walaupun fakta kes tidak menyokong penahanan pra-perbicaraan sedemikian.

Seksyen 14 membolehkan pengambilan keterangan saksi tanpa kehadiran tertuduh atau peguamnya, sementara Seksyen 30 memberi kuasa kepada pendakwa raya untuk menahan reman tertuduh yang telah dibebaskan sekiranya terdapat rayuan.

“Sejak dahulu lagi, pemimpin PH konsisten menyatakan bahawa SOSMA adalah undang-undang yang zalim dan menindas.

“Oleh itu, kerajaan perlu segera mengambil tindakan bagi meneliti serta meminda peruntukan yang tidak adil dalam akta ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button