AgamaRencana

Kepentingan malam Nisfu Syaaban dalam Islam

MALAM Nisfu Syaaban yang jatuh pada malam ke-15 bulan Syaaban merupakan antara malam yang istimewa dalam Islam.

Justeru, umat Islam sering meraikan malam penuh keberkatan itu dengan amalan ibadah seperti solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan memanjatkan doa kepada Allah SWT.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, bulan Syaaban adalah satu bulan yang dipenuhi dengan pelbagai kelebihan seperti yang dinyatakan di dalam beberapa hadis sahih.

Catatan mengenai kelebihan malam Nisfu Syaaban oleh portal Jabatan Mufti Perak.

Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika Usamah bin Zaid RA bertanyakan kepada Baginda:

“Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban.”

Dijawab oleh Nabi SAW:

“Bulan Syaaban itulah satu bulan yang sering diambil lewa oleh kebanyakan manusia yang diapit oleh bulan Rejab dan Ramadan. Ia juga adalah bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka jika diangkat amalanku di dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Musnad Ahmad dan Sunan al Nasa’i)

Malah, pada bulan itu juga amalan umat Islam akan diangkat dan dipersembahkan kepada Allah SWT.

“Antara kelebihan istimewa bulan ini dengan adanya satu malam yang dikhaskan dengan tawaran pengampunan daripada Allah SWT.

“Malam tersebut dikenali sebagai malam ke separuh bulan atau disebut malam Nisfu Syaaban,” ujar beliau yang dipetik dari laman web Jabatan Mufti Perak.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Pendidikan As Sofa, Datuk Muhammad Fuad Kamaludin berkata, terdapat beberapa pandangan berhubung hukum menghidupkan malam Nisfu Syaaban.

Pengerusi Kumpulan Pendidikan As Sofa, Datuk Muhammad Fuad Kamaludin

Memetik terjemahan beliau dalam kitab Kelebihan Malam Nisfu Syaaban karangan Al Muhaddith Al Hafiz Syeikh Salim Al Sanhuri Al Maliki rahimahumullah, Ibnu Rajab mengatakan di dalam kitab Lataif al Ma’arif bahawa para tabi’in dalam kalangan penduduk Syam seperti Khalid ibn Ma’dan, Makhul, Luqman ibn ‘Amir dan lain-lain, kesemuanya membesarkan malam Nisfu Syaaban dan bersungguh-sungguh beribadah pada malam tersebut.

“Dari perbuatan mereka, manusia telah mengikutnya dan membesarkan malam tersebut. Sependapat dengan mereka membesarkan malam Nisfu Syaaban ialah kumpulan ahli ibadah dari penduduk Basrah dan lain-lainnya.

“Ada golongan ulama yang berpendapat sunat menghidupkan malam tersebut secara berjemaah. Mereka memakai pakaian yang cantik, memasang wangi-wangian dan beribadah pada malam tersebut di dalam masjid. Sependapat dengan mereka ialah Ishaq ibn Rahawaih, guru kepada Imam Al-Bukhari RA.

Kitab Kelebihan Malam Nisfu Syaaban karangan Al Muhaddith Al Hafiz Syeikh Salim Al Sanhuri Al Maliki rahimahumullah memberi panduan mengenai amalan yang boleh dilakukan umat Islam pada malam Nisfu Syaaban yang penuh keberkatan.

“Kedua, golongan yang mengharuskan malam tersebut dihidupkan di dalam rumah dan menghukum makruh menghidupkannya di dalam masjid. Ini ialah pendapat Al-Auza’ei yang merupakan imam penduduk Syam dan ulama besar mereka.

“Manakala Ibnu Rajab memilih pendapat yang kedua. Pada salah satu daripada dua riwayat Imam Ahmad ibn Hanbal RA, beliau menghukumkan sunat menghidupkan malam Nisfu Syaaban kerana ia dilakukan oleh Abdur Rahman ibn Yazid ibn al Aswad iaitu seorang tabi’in dan kumpulan ulama besar fekah bagi penduduk Syam.

“Kemudian al Muhaddith Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim menyatakan, bahawa cukuplah kita bersandar kepada pegangan Imam Ahmad dan tabi’in yang alim dan warak dalam mengharuskan amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban secara berjemaah,” tulis beliau lagi.

Di samping itu, malam Nisfu Syaaban turut dikaitkan dengan peristiwa bersejarah bagi umat Islam iaitu penukaran arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke Baitullah di Masjidil Haram.

Pada siangnya, Allah SWT telah menukar Kiblat umat Islam dari Baitulmaqdis ke Baitul al Haram sebagai menyahut dan memperkenankan permintaan dan keinginan Rasulullah SAW.

Peralihan arah Kiblat umat Islam dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke Baitullah di Masjidil Haram berlaku pada siang hari 15 Syaaban.

Pada ketika itu, kebanyakan orang Yahudi mencaci Rasulullah SAW kerana Baginda solat menghadap ke Baitulmaqdis sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS.

Lalu Baginda mengangkat mukanya ke langit memohon kepada Allah agar menukarkan Kiblat ke arah yang dikehendakinya untuk menghentikan ejekan orang-orang Yahudi.

Maka ketika Baginda SAW mengerjakan solat Zuhur di dalam masjid Bani Salamah dalam keadaan menghadap ke Masjid al Aqsa di Syam, turun wahyu daripada Allah dalam firman-Nya yang berbunyi: “Palingkanlah mukamu ke arah Masjid al Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya.” (Al-Baqarah, 2:144)

Antara amalan yang boleh dilakukan pada malam penuh keberkatan ini ialah memperbanyakkan solat sunat seperti solat tahajud, taubat dan tasbih; membaca Al-Quran seperti surah Yassin sebanyak tiga kali dengan niat memohon keampunan, dikurniakan kesejahteraan hidup dan ditetapkan iman; memperbanyakkan doa dan istighfar untuk diri, keluarga dan umat Islam seluruhnya serta berpuasa di siang hari 15 Syaaban.

Antara amalan yang boleh dilakukan umat Islam pada malam Nisfu Syaaban ini termasuklah membaca Al-Quran, solat sunat, berzikir, beristighfar dan berdoa memohon keampunan daripada Allah SWT.

Semoga Allah mengurniakan taufiq dan inayah-Nya untuk kita beramal pada malam Nisfu Syaaban sekali gus meraih keredhaan dari Yang Maha Esa.

Keutamaan Malam Nisfu Syaaban

1. Malam Pengampunan
Salah satu keutamaan Malam Nisfu Syaaban adalah Allah SWT membuka pintu pengampunan kepada hamba-hamba-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu Dia mengampuni semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan orang yang bermusuhan.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Hadis ini menunjukkan betapa besar peluang untuk mendapatkan keampunan Allah SWT pada malam ini, dengan syarat kita menjauhkan diri daripada dosa syirik dan perasaan permusuhan sesama manusia.

2. Pencatatan Amal dan Rezeki
Dalam banyak riwayat, malam Nisfu Syaaban disebut sebagai malam di mana buku catatan amal manusia selama setahun diangkat dan diganti dengan buku catatan yang baharu.

Ini memberikan kesempatan kepada kita untuk bermuhasabah, memohon ampun atas dosa-dosa lalu serta mempersiapkan diri dengan amal soleh untuk masa hadapan.

3. Malam Dikabulkan Doa

Malam Nisfu Syaaban juga merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa. Allah SWT amat menyukai hamba-Nya yang berdoa dan bergantung harap kepada-Nya.

Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk memanfaatkan malam ini dengan memperbanyak doa, memohon keampunan, hidayah dan rahmat Allah SWT.

Selain itu, hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi menyebut:

“Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, maka berjagalah pada malamnya (dengan ibadah) dan berpuasalah pada siangnya. Sesungguhnya Allah turun pada malam tersebut ke langit dunia sejak terbenamnya matahari, lalu Dia berfirman: ‘Adakah sesiapa yang memohon ampun, maka Aku akan mengampuninya? Adakah sesiapa yang meminta rezeki, maka Aku akan memberikannya? Adakah sesiapa yang ditimpa musibah, maka Aku akan menyelamatkannya?’ Demikianlah hingga terbit fajar.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button