Berita Semasa

Kementerian Perpaduan ajak orang ramai meriahkan Program Perarakan Harmoni 2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengajak orang ramai untuk memeriahkan Program Perarakan Harmoni 2025 yang akan diadakan
pada 15 dan 16 Februari ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Menurut Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, program itu merupakan sebahagian daripada pengisian sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Tahun 2025 dan Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, yang kini dijenamakan sebagai Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Harmoni 2025.

“Perarakan Harmoni 2025 merupakan program baharu yang diperkenalkan oleh KPN untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian dengan menonjolkan kepelbagaian etnik, keunikan budaya serta kekayaan warisan masyarakat di Malaysia.

“Program ini akan melibatkan perarakan kereta berhias diiringi 600 orang peserta yang terdiri daripada 10 kumpulan kaum termasuk Melayu, India, Cina, Sabah, Sarawak, Orang Asli, Baba & Nyonya, Siam, Chetti dan Jawa.

“Para peserta akan membuat persembahan kebudayaan dan memainkan alat muzik sepanjang perarakan dijalankan. Perarakan ini akan bergerak sejauh 1.6 kilometer bermula daripada Dataran Merdeka melalui Jalan Raja, Jalan Tunku Abdul Rahman seterusnya kembali ke Dataran Merdeka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Perarakan Harmoni 2025 akan diadakan pada 15 dan 16 Februari bermula jam 9.00 malam di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Aaron berkata, perpaduan dan kesatuan masyarakat adalah matlamat utama Kerajaan Madani, maka dengan pelaksanaan program-program seperti ini, ia dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali kepelbagaian agama dan budaya di negara ini.

“Pelaksanaan program-program ini juga seterusnya akan membentuk masyarakat yang bersatu padu serta mengamalkan konsep Faham, Hormat dan Terima.

“Justeru, KPN ingin menjemput orang ramai turut hadir bagi sama-sama memeriahkan Perarakan Harmoni dan melihat sendiri keunikan kereta berhias yang akan dipamerka.

“Pengunjung juga bakal menikmati alunan muzik, tarian serta persembahan daripada pelbagai kaum di Malaysia,” katanya sambil menambah program itu bakal diadakan pada jam 9.00 malam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button