
Tiada peserta serahan memorandum ditahan polis – KDN
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan berlakunya sebarang tangkapan terhadap peserta serahan memorandum di Kompleks Setia Perkasa, KDN pada 10 Februari lalu seperti yang tular menerusi media sosial.
Menurut KDN dalam satu kenyataan, peserta penyerahan memorandum telah dipanggil hanya bertujuan untuk memberikan keterangan polis susulan daripada laporan prosedur keselamatan yang biasa dilakukan selari dengan Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, 1959 (Akta 298).
“Laporan polis ini ialah tatacara lazim (SOP) seandainya ada sebarang insiden yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak keselamatan untuk masuk ke premis Kompleks Setia Perkasa, KDN.
“Pihak PDRM juga telah menerangkan perkara ini seperti kenyataan media mereka, di mana beberapa orang peserta telah dipanggil untuk memberikan kenyataan berkaitan dengan laporan yang dibuat. Tiada tangkapan yang telah dibuat,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, KDN menasihati pengguna media sosial untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang tepat.
Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang spekulasi di samping sentiasa mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia yang sedang berkuat kuasa.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan menahan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy hari ini, seperti yang dilaporkan menerusi beberapa portal berita.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya hanya merekod percakapan Sevan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan yang Sevan diambil keterangan berhubung dakwaan beliau memasuki Kementerian Dalam Negeri KDN di sini pada Isnin tanpa pas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |