Berita Semasa

Maritim Malaysia bakal terima kapal baharu buatan Turkiye, tumpu pengawasan Laut China Selatan

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima sebuah kapal induk baharu buatan Turkiye sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) itu merupakan satu keputusan tepat Kerajan Madani dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

“Bagi pembinaan kapal tersebut, syarikat Desan Shipyard dari Turkiye telah dipilih berdasarkan merit, selain kepakaran dan keupayaan syarikat berkenaan dalam industri pertahanan negara itu yang diiktiraf di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman dengan pihak Turkiye yang diwakili Pengerusi Lembaga Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoglu di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Majlis MoU berkenaan telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menunjukkan replika kapal baharu buatan Turkiye yang bakal digunakan Maritim Malaysia.

Dalam pada itu Rosli menegaskan, perolehan kapal MPMS itu menandakan satu lonjakan besar dalam keupayaan operasi Maritim Malaysia.

Beliau turut memaklumkan, kapal berteknologi tinggi itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 dan bakal menjadi aset penting dalam mengawal perairan negara.

“Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain dilengkapi aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), serta turut mempunyai, helideck, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.

“Kapal yang berukuran 99 meter panjang serta boleh membawa 70 orang kru dan 30 orang penumpang ini, akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button