Berita SemasaDalam Negeri

Malaysia-Turkiye perkukuh kerjasama melalui MoU

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Turkiye memperkukuh hubungan strategik melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Perdagangan Republik Turkiye.

MoU tersebut ditandatangani sempena lawatan rasmi Presiden Republik Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia.

Majlis itu melibatkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Perdagangan Republik Turkiye, Prof Dr. Omer Bolat.

Menurut Armizan, MoU tersebut menumpukan kepada aspek perlindungan pengguna, pemantauan pasaran dan pemeriksaan di samping kerjasama strategik yang merangkumi standardisasi keselamatan barangan, pendigitalan serta pengumpulan data dan analitik dalam pelaporan harga serta kepenggunaan.

“Jalinan kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada usaha rintis yang telah dimulakan semasa lawatan kerja saya ke Republik Turkiye pada September 2024. Ia akan membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara,” ujar beliau.

Armizan turut menegaskan bahawa MoU ini bakal membuka peluang untuk memperkukuh pengurusan aduan pengguna, mekanisme pemantauan harga barang dan perkhidmatan serta pendekatan digitalisasi dalam sistem pemantauan.

Dalam memastikan pelaksanaan yang berkesan, kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama untuk menggerakkan dan memantau pelaksanaan MoU ini.

“Penubuhan jawatankuasa ini akan menjadi langkah yang tepat bagi membolehkan kedua-dua negara berkongsi amalan terbaik, kepakaran serta pengalaman untuk menambah baik dasar dan pelaksanaan program,” tambah beliau.

Lawatan rasmi Presiden Turkiye ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Kerjasama ini dijangka membawa faedah bukan sahaja kepada sektor perdagangan, malah meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui langkah perlindungan pengguna yang lebih berkesan.

Majlis menandatangani dokumen MoU itu turut disaksikan oleh Erdogan dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button