Berita Semasa

Larangan haji bawah 12 tahun tidak jejaskan jemaah Malaysia – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun menunaikan ibadat haji bagi musim tahun ini tidak memberi kesan kepada jemaah tanah air.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, ini kerana Lembaga Tabung Haji (TH) sudah menetapkan syarat bahawa umur minimum bagi jemaah Malaysia yang layak menunaikan ibadat haji adalah 15 tahun.

“Jika kita lihat pengumuman kerajaan Arab Saudi, larangan itu untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Dalam konteks kita (Malaysia), TH meletakkan umur bagi menunaikan ibadat haji adalah umur baligh iaitu 15 tahun.

“Jadi (jemaah kita) tidak terkesan dengan peraturan baharu ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya selepas Majlis Penyerahan Biasiswa Pelajar Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Menara MAIWP, di sini hari ini.

Mohd Na’im menambah, kerajaan Arab Saudi menetapkan peraturan itu selepas kajian yang mendalam dan bagi memastikan perjalanan haji berjalan dengan baik.

“Kita menghormati apa yang Arab Saudi tetapkan. Peraturan ini tak lain tak bukan untuk pastikan perjalanan haji kali ini berjalan dengan lancar.

“Kemungkinan kita tengok pada tahun lalu apabila kanak-kanak kecil dibawa sekali, ketika musim haji dengan berjuta orang ada di Makkah… ada kemungkinan tak sesuai untuk anak-anak ini dengan suhu begitu panas,” jelasnya.

Baru-baru ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan peraturan baharu bagi musim haji 2025 dengan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk menyertai jemaah haji ke Tanah Suci.

Menurut kenyataan itu, langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko berbahaya akibat kesesakan yang luar biasa setiap tahun semasa musim haji.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button