
Idrissi bakal buka cawangan ketiga, labur RM30 juta untuk pelan pembangunan masa depan
SHAH ALAM – Sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-10, Sekolah Antarabangsa Idrissi (Idrissi) mengumumkan bakal membuka cawangan sekolah ketiganya di Bukit Jelutong.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gains Education, Julie Wong, syarikat pemegang Idrissi, Julie Wong berkata, pembukaan sekolah tersebut dijadualkan akan berlangsung pada akhir tahun ini.
“Kampus baru ini mampu memuatkan kira-kira 1,000 pelajar dalam persekitaran pembelajaran yang mesra, memperkukuhkan komitmen kami untuk menyediakan pendidikan holistik yang berteraskan nilai kepada lebih banyak keluarga.
“Perancangan juga sedang dijalankan untuk memperkenalkan Sekolah Tahfiz Antarabangsa Idrissi, yang menggabungkan pendidikan antarabangsa dan Islam dengan kemudahan asrama.
“Selain itu, akan ada juga cawangan baharu di Cyberjaya dan Kuala Lumpur dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Julie Wong berkata, Idrissi bakal memperuntukkan antara RM20 juta hingga 30 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang bagi pelan pembangunannya pada masa depan.
Jelas beliau, perancangan tersebut akan direalisasikan melalui pengumpulan dana, kerjasama ekuiti persendirian dan pelaburan strategik.
“Jumlah pelaburan tersebut akan digunapakai untuk projek menambah baik keperluan sekolah antarabangsa swasta yang menawarkan rangkaian prasekolah, sekolah rendah dan juga sekolah menengah secara berfasa,” ujarnya.

Terdahulu, Idrissi telah menyambut ulang tahun ke-10 tahun ini, meraikan satu dekad dalam mendidik minda muda melalui gabungan kurikulum antarabangsa, pendidikan alam sekitar dan nilai-nilai Islam.
Pencapaian ulang tahun ke-10 ini diraikan melalui pameran tahunan pelajar Idrissi yang bertemakan Secrets of the Universe: Through Nature’s Lens di Pusat Konvensyen Setia Alam baru-baru ini.
Menurut Pengetua Sekolah Antarabangsa Idrissi Setia Alam, Nur Raimi Rasdi, pameran itu menampilkan 14 gerai interaktif yang meneroka ekosistem laut dalam, landskap gunung berapi, fenomena celestial dan banyak lagi.
Beliau berkata, pameran tersebut juga menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai ekosistem Bumi serta peranan pelajar sebagai Khalifah.
“Sistem pembelajaran Idrissi memberi penekanan kepada kemahiran abad ke-21 seperti kreativiti, pemikiran kritikal, kerjasama dan komunikasi.
“Untuk mempamerkan gerai mereka semasa pameran, pelajar perlu melakukan penyelidikan, berfikir secara kreatif, bertanya soalan, menganalisis maklumat, dan bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Proses ini memperkukuhkan kemahiran hidup penting yang akan memberi manfaat kepada mereka di luar sekolah, InsyaAllah,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |