Berita Semasa

Datuk Lat akan keluar buku nostalgia Kampung Bharu

KUALA LUMPUR – “Semua orang di Semenanjung yang datang ke Kuala Lumpur pasti ada saudara di Kampung Bharu,” kata kartunis legenda, Datuk Lat ketika mengimbau kenangan tinggal di kawasan ikonik itu sambil berkongsi perancangan menerbitkan buku lukisan khas mengenai Kampung Bharu.

Menurut Lat, beliau menetap di Kampung Bharu pada akhir 1950-an hingga awal 1960-an. Beliau sempat pulang ke Ipoh sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur pada tahun 1970 untuk bekerja dengan Berita Harian dan The Straits Times.

“Saya pernah tinggal di Kampung Bharu waktu tahun 1959, 1960 dan 1961. Banyak kenangan di sini. Semasa bujang pun saya tinggal di sini.

Seniman Diraja Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat)

“Saya ada simpan tulisan lama saya mengenai Kampung Bharu dan saya masukkan semua dalam lukisan. Insya-Allah, buku ini akan diterbitkan nanti,” katanya selepas pelancaran sambutan 125 tahun Kampung Bharu.

Mengimbau kembali peristiwa besar yang pernah melanda Kuala Lumpur, Datuk Lat berkongsi pengalaman sewaktu banjir besar 1971 yang menenggelamkan sebahagian besar ibu kota.

“Saya masih ingat, pada Januari 1971, banjir besar melanda. Saya berjalan-jalan melihat keadaan sekitar dan akhirnya sempat berenang di kawasan Kampung Bharu yang ditenggelami air. Itu antara kenangan yang tidak dapat dilupakan,” katanya lagi.

Wartawan Malaysia Tribune bersama Datuk Lat pada sesi Pelancaran Sambutan ke-125 tahun Kampung Bharu.

Lat berkata, Kampung Bharu bukan sekadar penempatan tetapi menjadi tempat persinggahan utama bagi mereka yang merantau ke Kuala Lumpur.

“Kampung Bharu ini tempat kita menumpang jika datang ke Kuala Lumpur. Semua orang ada saudara di sini.

“Saya sendiri banyak pengalaman tinggal di sini,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut berkongsi sumbangan kecilnya dalam dunia seni dengan melukis kembali pemandangan Pasar Minggu Kampung Bharu sekitar tahun 1950-an, yang diserahkan kepada Setiausaha Kehormat Malay Agricultural Settlement (M.A.S) Datuk Shamsuri.

“Saya masih ingat suasana pasar minggu pada tahun 1958, deretan kedai, makanan dan juga galeri seni.

“Masa itu saya masih budak, datang ke pasar dengan minat melukis. Tak tahu lagi nak pakai warna tapi akhirnya minat itu membawa saya ke dunia seni,” katanya lagi.

Lat juga menzahirkan rasa bangga dengan usaha mengekalkan Kampung Bharu sebagai kawasan warisan dan menyatakan kesediaannya untuk menyumbang dalam bidang seni.

“Kalaulah ada apa-apa yang saya boleh bantu dari segi seni dan lukisan, saya akan bantu sedikit demi sedikit.

“Saya bangga melihat usaha untuk mengekalkan Kampung Bharu sebagai tempat asli kita terus dipertahankan,” katanya.

Datuk Lat menghadiahkan lukisan untuk Sambutan ke-125 tahun Kampung Bharu

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button