
Thaipusam: Keunikan budaya harus diraikan sebagai kekuatan, bukan pemisah – PM
KUALAN LUMPUR – Keunikan budaya dan amalan yang berbeza harus diraikan sebagai kekuatan, bukan pemisah dan sebagai elemen yang memecah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena perayaan Thaipusam hari ini.
Menurut Perdana Menteri, Thaipusam bukan sekadar sebuah perayaan, tetapi menjadi simbol ketabahan, keazaman dan pengorbanan dalam menempuh ujian kehidupan bagi penganut Hindu.
Beliau berkata, perayaan itu turut mencerminkan kekuatan dalaman dan disiplin mereka dalam mendepani tantangan serta menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dalam konteks kenegaraan.
“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, semangat saling menghormati dan menerima perbedaan harus menjadi tunjang yang memungkinkan perpaduan.
“Ia menjadi bukti bagaimana masyarakat boleh bersatu dalam suasana yang penuh dengan rasa hormat, kebersamaan dan kekeluargaan
“Lantas, ciri ini yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan warisan serta nilai-nilai murni dan dihormati tidak hanya di rantau ini, malah seantero dunia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.
Anwar menambah, tatkala ribuan penganut Hindu berkumpul untuk menunaikan nazar dan menzahirkan pengorbanan, rakyat di negara ini menyaksikan satu manifestasi kekuatan yang kolektif.
Beliau berkata, ia adalah cerminan masyarakat yang berdiri teguh dalam nilai-nilai kemanusiaan, kasih sayang dan saling memahami.
“Negara tidak akan aman dan maju sekiranya titik perbedaan diperbesar dan prinsip kerukunan dikesempingkan.
“Setiap perayaan yang berlainan dan unik seperti ini seharusnya difahami oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan yang menjunjung prinsip hidup berdamping,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau sering beranggapan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian untuk dijadikan ruang untuk kita saling mengenali dan berkasih sayang, bukan menyebar serta memicu kebencian.
“Justeru, mari bersama membenih semangat kebersamaan, menghargai kepelbagaian, dan memperkukuh kasih sayang.
“Hanya dengan memahami dan menghormati satu sama lain, kita dapat menjamin sebuah negara yang bertamadun, bermaruah dan makmur buat semua,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |