Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Tembakan di hadapan rumah, polis tahan Man Tiger

SIMPANG RENGGAM – Sepasang suami isteri di Kampung Bukit Batu Machap, di sini berdepan detik cemas apabila didatangi tiga lelaki yang melepaskan enam das tembakan ke arah rumahnya sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam kejadian semalam, pengadu yang merupakan seorang wanita berusia 36 tahun hadir membuat laporan pada pukul 12.17 tengahari.

“Pengadu mendakwa dia ternampak sebuah kereta jenis Perodua Bezza memasuki halaman rumahnya. Semasa kejadian mangsa dan suami sedang berdiri di hadapan pintu rumah.

“Salah seorang suspek telah keluarkan pistol dari pinggang kemudian acukan kepada mangsa dan suspek berkenaan telah lepaskan empat das tembakan.

“Mereka kemudian melarikan diri dan melepaskan dua lagi das tembakan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Bahrin berkata, tembakan terkena bahagian bingkai pintu hadapan rumah dan meja di ruang garaj hadapan rumah namun tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Susulan itu, seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai Man Tiger ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Bahrin berkata, Man Tiger berjaya ditahan di pusat perdagangan Simpang Renggam pada jam 7 malam semalam manakala tujuh lagi yang terlibat dalam kes itu sedang diburu.

“Suspek berusia 32 tahun merupakan penganggur itu mempunyai 27 kes lampau iaitu 18 kes jenayah dan sembilan kes dadah.

“Ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis methamphetamine. Dianggarkan tujuh lagi suspek masih bebas,” ujarnya.

Jelas beliau, permohonan reman ke atas Man Tiger akan dilakukan pada petang Selasa di Mahkamah Batu Pahat.

“Motif kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button