
PDRM dedah skim penipuan pelaburan UKVXE, kerugian lebih RM33 juta
KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima 44 laporan polis berkaitan skim penipuan pelaburan UKVXE yang melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM33 juta.
Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, skim pelaburan berasaskan kripto itu dipercayai memperdaya mangsa dengan menjanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 50 peratus.
“Salah seorang mangsa, seorang pengurus lelaki berusia 42 tahun, membuat laporan polis pada 7 Februari 2025. Dia mendakwa telah menyertai skim tersebut sejak Julai 2024 selepas tertarik dengan iklan yang dipaparkan di Facebook.
“Menurut mangsa, dia membuat 26 transaksi bayaran ke 14 akaun bank milik syarikat dan perniagaan berbeza.
“Walaupun akaun pelaburannya menunjukkan keuntungan, dia dipaksa membuat pelbagai bayaran tambahan untuk mengeluarkan wang pelaburannya,” jelas Ramli dalam satu kenyataan semalam.
Pihak polis kini menjalankan siasatan terhadap skim ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang telah menyertai skim UKVXE dinasihatkan untuk segera menghentikan sebarang urusan pembayaran kepada pihak terbabit dan tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.
Sebagai usaha membanteras penipuan pelaburan, PDRM mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan janji keuntungan luar biasa.
“Sentiasa semak latar belakang skim pelaburan dengan menggunakan sumber rasmi seperti portal Semakmule CCID, Alert List Bank Negara Malaysia dan Security Commission sebelum membuat sebarang keputusan untuk melabur,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |