
Op Sky: Tiga selebriti hanya terima bayaran atas perkhidmatan, termasuk jadi duta
Setakat ini tidak terlibat uruskan kegiatan syarikat - Azam Baki
PUTRAJAYA – Tiga selebriti terlibat dalam siasatan Op Sky baru-baru ini didapati menerima bayaran atas perkhidmatan yang dijalankan termasuk menjadi duta syarikat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dipetik sebagai berkata, mereka setakat ini tidak didapati terbabit dalam menguruskan kegiatan yang dilakukan syarikat berkenaan.
“Mereka dipanggil untuk membantu menjadi saksi kerana selebriti ini digunakan untuk mempromosikan syarikat tetapi tidak terbabit dalam menguruskan aktiviti yang dilaksanakan.
“Siasatan juga mendapati ada sejumlah wang dikeluarkan untuk membayar selebriti ini tetapi bayaran yang diterima itu adalah dibuat atas khidmat mereka dalam syarikat itu,” katanya dalam laporan BH Online, hari ini.
Beliau turut mengesahkan, ketiga-tiga selebriti itu akan menjadi saksi dalam siasatan yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Op Sky.
Ketiga-tiga selebriti tersebut adalah Ziana Zain, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.
Kesemua mereka telah hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini, minggu lalu.
Op Sky dilaksanakan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Sekurang-kurangnya 27 individu termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan serta seorang orang awam ditahan membantu sisaatan.
Dalam operasi itu, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank yang bernilai lebih RM17 juta.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |