
Maritim Malaysia tahan bot nelayan langgar syarat lesen
PELABUHAN KLANG – Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor selepas dikesan melanggar syarat lesen dan menggaji kru warga asing tanpa kebenaran di perairan Selangor, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan dilakukan pada pukul 12 tengah hari oleh aset Maritim Malaysia ketika menjalankan rutin operasi pada kedudukan 9.2 batu nautika barat daya Pulau Tengah.
Menurut Muhaimin, pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama empat kru warga Myanmar berusia antara 18 hingga 42 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel berkenaan.
“Selain itu, vesel tersebut juga dikesan melanggar syarat tambahan kerana tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika belayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana kesemua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Selain itu katanya, bot berkenaan turut melanggar Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang dari 15 batu nautika dari daratan, menggaji warga asing tanpa kebenaran serta beroperasi tanpa mengibarkan bendera Malaysia.
“Kesemua kru, vesel dan hasil tangkapan ikan campur seberat 50 kilogram dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengalami kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |