
Malaysia, Turkiye komited perkukuh hubungan dua hala
PUTRAJAYA – Malaysia dan Turkiye komited dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dengan tumpuan khusus dalam bidang pertahanan, keselamatan tenaga serta sains dan teknologi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan dalam kenyataan bersama hari ini berkata, hubungan berterusan dalam sektor penting berkenaan dapat mengukuhkan kerjasama serta menangani cabaran bersama.
“Kedua-dua pemimpin menyatakan penghargaan mereka terhadap kerjasama erat dalam bidang pertahanan yang disokong rangka kerja undang-undang dan Mesyuarat Dialog Ketenteraan.
“Kewujudan mekanisme kerajaan kepada kerajaan untuk perolehan produk pertahanan pada Jun tahun lepas diiktiraf sebagai langkah penting ke arah ini,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, Malaysia-Turkiye yakin kerjasama dalam industri pertahanan mampu meningkatkan keupayaan dan kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk mengukuhkan usaha membanteras jenayah khususnya jenayah rentas sempadan dan terancang serta segala bentuk keganasan.
Selain itu, pertukaran maklumat dan pengalaman dalam mengendalikan isu berkenaan juga dikenal pasti sebagai bidang utama kerjasama.
Keselamatan tenaga turut diketengahkan sebagai keutamaan bagi kedua-dua negara, dengan Anwar dan Erdoğan mengakui kepentingan isu berkenaan dalam agenda global.
Kedua-dua pemimpin juga mengakui peranan penting sektor swasta bagi memacu projek keselamatan dan peralihan tenaga, menggalakkan penglibatan lebih besar dalam membangunkan penyelesaian yang praktikal.
Sementara itu, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) turut dikenal pasti sebagai bidang untuk kolaborasi dengan tumpuan pada semikonduktor, bioteknologi, tenaga boleh baharu, angkasa dan bidang lain yang berkaitan STI.
“Kedua-dua pemimpin mencapai persefahaman bahawa perkongsian antara Malaysia-Turkiye dalam sains, teknologi dan aplikasi angkasa mempunyai potensi meluas.
“(Antaranya) Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Bersama Malaysia-Turkiye adalah inisiatif penting yang bertujuan memajukan keupayaan angkasa kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Erdoğan kini berada di Malaysia sejak semalam bagi lawatan rasmi dua hari, diiringi Wanita Pertama Turkiye Emine Erdoğan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |