AgamaBerita Semasa

WADAH sokong penuh peranan Jakim pelihara akidah umat Islam

KUALA LUMPUR – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyokong penuh terhadap peranan yang telah diamanahkan oleh Jemaah Menteri kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha memastikan kesucian akidah umat Islam di negara ini terus terpelihara.

Menurut Presidennya, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman, mandat itu adalah satu langkah yang amat penting bagi memastikan umat Islam di Malaysia tetap teguh dalam pegangan aqidah dan tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam yang sebenar.

“Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperteguh peranan Jakim dalam menyediakan nasihat serta panduan yang jelas kepada umat Islam mengenai isu-isu akidah yang timbul.

“Panduan itu terutamanya dalam menghadapi cabaran dunia moden yang penuh dengan pelbagai ideologi dan fahaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Azam berkata, WADAH akan terus mempereratkan kerjasama dengan Jakim dan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Jelas beliau, kerjasama itu adalah untuk memastikan program-program pemerkasaan aqidah Islam dapat dilaksanakan secara efektif kepada umat Islam di seluruh negara.

“Kami juga akan menganjurkan pelbagai program berbentuk pendidikan dan kesedaran untuk mempertingkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan akidah Islam dalam masyarakat majmuk,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Azam berkata, WADAH juga komited untuk memperkukuhkan program-program bertemakan fiqh ta’ayush (Budaya Hidup Damai Dalam Kepelbagaian) dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Program itu adalah bagi mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan yang sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button