
Penunggang hembur kata-kata kesat positif dadah
BUKIT MERTAJAM – Seorang penunggang motosikal yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota penguatkuasa semasa sekatan jalan raya di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang disahkan positif dadah.
Suspek yang menunggang motosikal tanpa cukai jalan dan insurans sah itu didapati positif methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dilakukan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an yang ditahan semasa Op Bersepadu Sempena Operasi Khas Tahun Baharu Cina itu kini direman tiga hari sehingga Rabu untuk siasatan lanjut.
“Dia disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Selain itu, kita turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas dia didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Helmi, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan motosikal yang ditunggang suspek.
“Pemeriksaan mendapati cukai jalan dan insurans motosikalnya tamat tempoh sejak 14 Disember lalu.
“Ketika anggota JPJ hendak mengeluarkan saman dan menyita motosikal, lelaki itu tiba-tiba mengamuk, mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang tugas pihak berkuasa,” katanya.
Berikutan itu, suspek diberkas serta-merta sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Helmi turut memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak bertindak di luar batas undang-undang, selain menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar peraturan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |