Berita SemasaSukan

KBS pastikan bakat atlet muda tidak sia-sia

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam memastikan bakat atlet muda tidak terhenti pada satu jenis sukan sahaja, terutama jika mereka kurang berpotensi untuk mewakili negara dalam sukan yang diceburi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementeriannya akan membantu memudahkan perpindahan bakat ke sukan lain bagi memastikan usaha ibu bapa yang menghantar anak mereka menyertai sukan tidak menjadi sia-sia.

“Sukan seperti gimnastik berirama memerlukan atlet bermula dari usia muda, tetapi tidak semua akan membesar menjadi atlet yang mewakili Malaysia.

“Saya tidak mahu pelaburan awal yang dilakukan ibu bapa dibazirkan apabila kanak-kanak itu menyedari mereka tidak begitu menonjol dalam sukan tersebut,” katanya selepas merasmikan cawangan baharu Rhythmic Excellence Academy di sini, semalam.

Hannah turut memuji usaha Rhythmic Excellence Academy, yang diasaskan Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, Petrina Low dalam berkolaborasi dengan akademi sukan terjun di Bukit Jalil yang diterajui bekas penerjun negara, Datuk Leong Mun Yee.

“Kerjasama seperti itu yang kita mahu lihat, supaya atlet boleh bertukar kepada sukan lain,” katanya lagi.

Menurutnya, Majlis Sukan Negara (MSN) bersama jurulatih terlibat sedang meneroka kaedah terbaik bagi melaksanakan inisiatif itu.

Hannah turut memberi contoh beberapa atlet negara seperti Datuk Lee Chong Wei yang pada awalnya bermain bola keranjang sebelum beralih ke badminton, serta ratu wushu negara, Tan Cheong Min, yang sebelum itu merupakan pemain badminton sebelum menemui kejayaan dalam wushu.

Inisiatif itu dijangka memberi lebih banyak peluang kepada atlet muda untuk terus mengembangkan bakat mereka dalam bidang sukan yang sesuai dengan potensi mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button