PendapatRencana

Hijrah Rasulullah SAW dan inspirasi pelancongan Islam

Oleh DR. SITI SURIANI OTHMAN & NUR ANIS NABILAH MOHAMAD ASRI

PERISTIWA penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi bukan sekadar perpindahan lokasi tetapi juga simbol perubahan besar dalam sejarah Islam.

Hijrah mengajar umat Islam tentang keberanian, pengorbanan dan keyakinan yang teguh kepada Allah SWT. Kisah ini kekal relevan sehingga kini dan memberi inspirasi kepada pelancongan Muslim.

Masjid Nabawi di kota Madinah sentiasa menjadi tumpuan para jemaah untuk menziarahi Rasulullah SAW sebelum atau selepas menunaikan umrah.

Dalam kehidupan moden, konsep hijrah melambangkan perubahan ke arah yang lebih baik. Semangat hijrah mendorong umat Islam untuk menanamkan niat suci dalam setiap perjalanan mereka.

Di sinilah pelancongan Islam memainkan peranan penting, bukan sahaja sebagai medium mengeratkan hubungan sesama umat, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran spiritual.

Pelancongan Islam membolehkan umat Islam menghargai warisan agama mereka dengan mengunjungi lokasi bersejarah seperti Mekah dan Madinah.

Tempat-tempat ini bukan sahaja menjadi pusat ibadah, tetapi juga menginsafkan pengunjung tentang nilai-nilai yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, lawatan ke makam para sahabat RA dan tokoh Islam lain dapat mengukuhkan hubungan spiritual seseorang dengan agamanya.

Lawatan ke tempat bersejarah para sahabat RA seperti di Bukit Uhud ini mampu menyuntik semangat umat Islam menghayati perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan syiar Islam.

Menurut laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2022, seramai 140 juta pelancong Muslim telah melakukan perjalanan antarabangsa.

Data ini menunjukkan bahawa pelancongan Islam berkembang pesat dan mendapat sambutan baik.
Destinasi seperti Turkiye, Timur Tengah dan Asia Tenggara sering menjadi pilihan utama.

Malaysia, misalnya, diiktiraf sebagai destinasi pelancongan Muslim terbaik dunia selama tiga tahun berturut-turut oleh Crescent Rating dan Dinar Standard. Pada tahun 2022 sahaja, negara ini menerima lebih 2.12 juta pelancong Muslim.

Salah satu destinasi yang sarat dengan pengajaran ialah Muzium Makam Anitkabir di Turki, tempat persemadian Mustafa Kemal Ataturk.

Pelancong Muslim sering mengambil iktibar daripada kisahnya yang dianggap bertentangan dengan prinsip Islam. Monumen ini juga mengingatkan pengunjung tentang kekuasaan Allah SWT dan kepentingan mematuhi ajaran Rasulullah SAW.

Muzium Makam Anitkabir di Turki yang menempatkan jenazah Mustafa Kemal Ataturk ini mengingatkan pengunjung tentang kekuasaan Allah SWT dan kepentingan mematuhi ajaran Islam berlandaskan syariat.

Selain manfaat spiritual, pelancongan Islam turut menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan masyarakat setempat. Komuniti di destinasi suci seperti Mekah dan Madinah mendapat manfaat daripada infrastruktur yang dibangunkan untuk menyokong kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Kesimpulannya, pelancongan Islam bukan sahaja memperkukuh keimanan, tetapi juga memberi peluang untuk menghargai warisan budaya Islam.

Dengan pengalaman yang mendalam dan interaksi dengan komuniti setempat, pelancong Muslim dapat mempererat hubungan sesama umat Islam di seluruh dunia serta menyemarakkan semangat hijrah dalam kehidupan mereka.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia dan Pelajar Program Pengurusan Dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Dr. Siti Suriani Othman

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button