Berita SemasaLuar Negara

Elon Musk bongkar skandal ratusan bilion dolar

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melantik bilionair Elon Musk mengetuai siasatan ketirisan dan skandal perbelanjaan kerajaan yang didakwa mencecah ratusan bilion dolar.

Trump menegaskan langkah itu dibuat bagi memenuhi tuntutan rakyat yang mahukan ketelusan dalam penggunaan dana awam.

“Rakyat mahukan saya mengenal pasti sebarang pembaziran dan penyalahgunaan dana.

“Kita bukan bercakap mengenai berbilion dolar, tetapi ratusan bilion. Sebab itu mereka memilih saya,” katanya memetik laporan Fox News Channel.

Trump berkata, susulan berlaku ketirisan beratus juta dolar, beliau memberi tanggungjawab kepada Musk untuk memberi tumpuan kepada Jabatan Pendidikan yang sering menjadi sasaran kritikan pihak Republikan.

Trump turut mengumumkan tumpuan terusnya akan diberikan kepada perbelanjaan tentera, khususnya di Pentagon, yang mempunyai bajet sekitar AS$850 bilion (RM3.8 trilion).

“Kemudian saya akan beralih ke tentera. Kita perlu pastikan setiap dolar dibelanjakan dengan berhemah,” katanya lagi.

Sejak mengambil alih pentadbiran, Trump telah menandatangani beberapa perintah eksekutif bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan secara drastik.

Beliau juga menubuhkan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diketuai oleh Musk untuk mengawal perbelanjaan kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada bukti jelas diketengahkan mengenai sebarang aktiviti haram atau penipuan berskala besar dalam perbelanjaan kerajaan.

Dalam langkah mengejutkan, Musk menutup Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), menyebabkan ribuan pekerja kehilangan pekerjaan.

Bagaimanapun, seorang hakim persekutuan mengarahkan penangguhan sementara terhadap langkah pentadbiran untuk meletakkan 2,200 pekerja USAID dalam cuti bergaji.

Dalam perkembangan lain, Trump sekali lagi mengutarakan cadangan kontroversi untuk menggabungkan Kanada ke dalam AS, dengan mendakwa langkah itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Menurutnya, AS mengalami kerugian sebanyak AS$200 bilion (RM890 bilion) setiap tahun akibat hubungan perdagangan dengan Kanada.

“AS telah mensubsidi Kanada selama bertahun-tahun. Tanpa kita, mereka tidak akan mampu berdikari,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button