
PPAS bakal tambah 5 lagi perpustakaan mesra transit
KUALA LUMPUR – Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bakal membuka lima lagi perpustakaan mesra transit tahun ini bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati akses ilmu secara mudah dan selesa.
Pengarahnya, Mastura Muhamad berkata, antara lokasi yang dicadangkan ialah di PPR Hicom, Shah Alam; PPR Taman Medan Jaya dan Desa Mentari, Petaling Jaya; Pangsapuri Enggang, Puchong dan Bangi.
“Setakat ini, perbincangan masih berlangsung bersama pihak berkaitan. Jika semuanya berjalan lancar, kita akan realisasikan tahun ini juga,” katanya.
Mastura turut menyeru agensi kerajaan dan pihak swasta tampil menyalurkan sumbangan bagi memastikan lebih banyak perpustakaan dapat diwujudkan.
“Kita sangat mengalu-alukan bantuan daripada agensi kerajaan, syarikat korporat serta swasta. Tambahan pula, setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan Perpustakaan Awam Selangor @ AYG Kota Damansara Blok D di PPR Kota Damansara.
Setakat ini, sebanyak 14 perpustakaan mesra transit telah dibuka di Selangor, lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti tandas, surau, pantri, ruang multimedia, WiFi percuma, sudut bacaan kanak-kanak dan dewasa, serta bilik penyusuan.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri komited menjadikan perpustakaan sebagai hab ilmu yang kondusif, seiring dengan agenda pembangunan negeri berteraskan pengetahuan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |