Berita Semasa

Sultan Selangor zahir rasa tidak setuju cadangan wujudkan garis panduan bagi orang Islam

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa tidak setuju baginda terhadap cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan berlainan agama khususnya di negeri itu.

Baginda bertitah, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan berkenaan dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian.

“Ketika ini, rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.

“Polemik yang tercetus telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ia pastinya akan menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Baginda dalam titahnya turut menegaskan, Islam menerusi Al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.

Justeru, baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan.

Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah Agama Persekutuan.

Bagaimanapun, baginda menasihatkan umat Islam khususnya di Selangor supaya sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, tiada keperluan untuk menetapkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam.

Keputusan Kabinet berhubung mesyuarat itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal Agama Islam Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button