
PLKN 3.0: Latihan guna raifal M16 jadi pengalaman berharga buat pelatih
KUALA LUMPUR – Latihan menembak menjadi pengalaman berharga buat peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dalam mendapatkan pendedahan asas ketenteraan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, pengalaman itu adalah sebahagian daripada kurikulum program bagi memastikan semua pelatih menerima latihan ketenteraan asas sepanjang tempoh penyertaan mereka.

“Mereka diberi pengalaman secara langsung dalam latihan menembak sebagai sebahagian daripada modul latihan.
“Selain itu, mereka diajar cara mengendalikan serta mengoperasikan raifal dengan betul.
“Kami menggunakan raifal M16, senjata yang sama digunakan dalam latihan asas Rejimen Askar Wataniah,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan menembak senjata ringan di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Dalam pada itu, Ya’cob turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan pelatih sentiasa menjadi keutamaan sepanjang latihan berlangsung.
“Protokol keselamatan yang ketat dipatuhi dan pelatih sentiasa dipantau oleh jurulatih serta tidak dibiarkan bersendirian semasa latihan.
“Latihan itu dilaksanakan dalam persekitaran terkawal dan mungkin menjadi pengalaman yang sukar diperoleh lagi kecuali mereka menyertai Askar Wataniah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau agensi penguatkuasaan lain,” katanya lagi.
Mengulas kadar pengekalan peserta dalam kumpulan perintis PLKN 3.0, beliau mengesahkan terdapat pelatih yang menarik diri atas faktor kesihatan.
“Alhamdulillah, program itu berjalan lancar, namun beberapa pelatih terpaksa menarik diri atas sebab kesihatan bagi mengelakkan risiko kecederaan semasa latihan.
“Setakat ini, jumlah pelatih yang menarik diri kerana masalah kesihatan adalah sekitar lima orang,” katanya lagi.

PLKN 3.0 bermula pada 12 Januari lalu dengan penyertaan seramai 142 pelatih sukarela berusia antara 18 hingga 25 tahun, termasuk 44 wanita.
Bagi siri kedua dan ketiga, lebih 1,000 peserta dijangka menyertai latihan di seluruh negara dari 11 Mei hingga 24 Jun serta 7 September hingga 21 Oktober tahun ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |