
MCMC, Microsoft Malaysia komited perluas program AI Teach ke negeri lain
JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Microsoft Malaysia dengan kerjasama rakan strategik, hari ini melancarkan program MCMC Microsoft AI TEACH bagi meningkatkan kemahiran digital dan memperkasakan komuniti dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Program selama dua hari ini dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berlangsung di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini dan 20 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negeri Johor.
Seramai 230 peserta dijangka mendapat manfaat daripada penganjuran program ini, dengan fokus program tertumpu kepada peningkatan kemahiran AI dan kebolehpasaran tenaga kerja.
Program yang turut disertai rakan strategik seperti Biji-biji Initiative, PIS dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ini mendedahkan peserta kepada asas-asas AI, pertimbangan etika, serta kemahiran praktikal seperti penulisan resume dan pembangunan portfolio digital.
“Apabila tamat penyertaan, peserta akan menerima sijil dan dibantu dalam penempatan pekerjaan melalui kerjasama dengan PERKESO menerusi platform MyFutureJobs.
“Program ini melengkapi usaha kerajaan negeri Johor dalam mencapai aspirasi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (PPMJ 2030) dan berpotensi untuk menyediakan tenaga kerja yang terlatih,” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, program ini turut menyokong peluang pekerjaan yang tersedia menerusi pembangunan infrastruktur-infrastruktur terbaru di Johor seperti pembangunan Bandar Pintar Johor, Pusat Data Hyperscale AirTrunk, infrastruktur AI dan superkomputer di YTL Green Data Centre Park, serta Johor Data Centre Hub.
“MCMC dan Microsoft Malaysia akan terus komited untuk memperluas program ini ke lebih banyak negeri sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan literasi AI, memperkukuh keterangkuman digital, serta menyokong pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |