
Fasa pertama inisiatif tingkat capaian Internet IPTA siap sepenuhnya 5 Feb
3,149 titik akses Wi-fi siap dipasang di tiga universiti awam
KUALA LUMPUR – Fasa pertama inisiatif meningkatkan capaian Internet di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) berjaya disiapkan sepenuhnya 5 Februari lepas.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dalam fasa itu, sebanyak 3,149 titik akses Wi-fi siap dipasang di tiga universiti awam.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 1,837 titik akses Wi-fi dipasang di empat fakulti dan satu kolej kediaman di Universiti Malaya, manakala bakinya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
“Jumlah kos diperuntukkan adalah RM11.6 juta dan semua titik akses di semua universiti terlibat dalam fasa pertama ini disiapkan pada 5 Februari seperti disasarkan.
“Jadi secara keseluruhan, ia memakan masa lebih kurang tiga minggu untuk kerja ini disiapkan,” katanya selepas melakukan tinjauan pemasangan titik akses Wi-fi di Universiti Malaya, di sini hari ini.
Bagi fasa kedua, Fahmi berkata, 31,173 titik akses Wi-fi akan dipasang bermula Mac ini di 14 IPTA, 24 politeknik dan 43 kolej komuniti di seluruh negara serta dijangka siap dalam tempoh empat bulan, melibatkan kos RM175.8 juta.
“Inisiatif ini susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya liputan Internet di kampus, kolej dan universiti ditambah baik.
“Insya Allah dengan siapnya jumlah hampir 35,000 titik akses menjelang Julai nanti, saya harap ini akan dapat menyelesaikan secara menyeluruh masalah Internet di semua universiti awam,” katanya lagi.
Dalam majlis sama, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menyampaikan sumbangan 50 komputer riba kepada mahasiswa universiti berkenaan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |