Berita Semasa

Dua minggu dilancarkan, 143 usahawan India sudah terima manfaat SPUMI

KUALA LUMPUR – Sebanyak 143 usahawan berbangsa India sudah menerima manfaat Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI dan SPUMI Goes Big) yang diumumkan dua minggu lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, daripada peruntukan RM100 juta yang diumumkan, sebanyak RM3.6 juta telah diagihkan setakat ini.

R. RAMANAN

“Dalam tempoh masa dua minggu sahaja, selepas dana 100 juta diumumkan, TEKUN Nasional telah salurkan RM3.6 juta kepada 143 usahawan berbangsa India.

“Daripada jumlah itu, RM555,000 diagihkan kepada 14 usahawan melalui program SPUMI Goes Big manakala RM3.06 juta lagi diagihkan 129 usahawan menerusi inisiatif SPUMI”, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pemantauan program SPUMI dan SPUMI Goes Big, hari ini.

Mesyuarat tersebut diadakan secara bulanan dan dipengerusikan Ramanan sendiri bagi memastikan dana tersebut disalurkan dengan terurus dan terancang.

Pada 14 Januari lepas, Ramanan yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal komuniti India mengumumkan, peruntukan RM100 juta itu di bawah TEKUN Nasional bertujuan memperkasa dan memperkukuh lagi agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India.

Peruntukan itu memperuntukkan RM50 juta bagi SPUMI dan selebihnya menerusi SPUMI Goes Big.

Ramanan kemudian turut menyeru menyeru usahawan yang mendapat pembiayaan supaya membuat pembayaran balik secara teratur bagi membolehkan TEKUN membantu lebih ramai usahawan India pada masa akan datang.

“Apabila TEKUN menggunakan dana dalaman (untuk melaksanakan inisiatif itu), pembayaran balik mesti dilakukan sebaiknya, jika tidak ia akan menghalang peluang peminjam seterusnya kerana ini dana dalaman bukan dana baharu,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button