Gaya HidupRencana

Sindrom Brugada: Penyakit mengancam nyawa, tapi boleh dikawal

BARU-BARU ini anak sulung penulis, Muhammad Alawi disahkan menghidap Sindrom Brugada Type 1. Penyakit itu dikesan selepas dia pengsan di dalam bilik air hingga menyebabkan kecederaan di dahi.

Ketika itu, dia mengalami demam panas selama dua hari. Walaupun sudah diberi ubat, demamnya tidak berkurangan.

Siapa sangka, ketika mahu mandi untuk menyejukkan badan, tiba-tiba pandangannya gelap dan terus jatuh pengsan.

Muhammad Alawi disahkan menghidap Sindrom Brugada Type 1 selepas pengsan di bilik air akibat demam panas yang dialami.

Syukur kerana ada jiran penulis yang datang membantu mengangkatnya turun ke bawah dan membawanya ke hospital. Kebetulan pada masa kejadian, suami saya sudah keluar ke pejabat.

Hasil pemeriksaan kakitangan perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya, doktor memaklumkan bacaan jantungnya tidak cantik menyebabkan ujian lanjut perlu dilakukan.

Daripada dirawat di zon hijau, akhirnya Muhammad Alawi ditolak ke zon merah (kritikal) bagi memantau keadaannya dengan lebih teliti.

Keesokan paginya, doktor pakar datang membawa berita.

“Anak puan disahkan menghidap Sindrom Brugada Type 1 hasil pemantauan terhadap bacaan jantungnya semalam. Nanti kami akan rujuk kes ini ke Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah dalam tempoh sebulan untuk rawatan seterusnya,” ujar Dr. Zulkifli, salah seorang doktor pakar perubatan am di Hospital Putrajaya.

Gambar menunjukkan jenis-jenis Sindrom Brugada iaitu gangguan genetik yang jarang berlaku tetapi sangat serius berkaitan dengan irama jantung manusia.

Menurut beliau, Sindrom Brugada ialah gangguan genetik yang jarang berlaku tetapi sangat serius yang berkaitan dengan irama jantung.

“Sindrom ini melibatkan gangguan pada sistem elektrik jantung yang menyebabkan degupan jantung tidak normal atau aritmia.

“Dalam kes tertentu, aritmia ini boleh membawa kepada kematian mengejut, terutamanya ketika seseorang sedang tidur.

“Walaupun ia dianggap jarang, sindrom ini lebih sering berlaku dalam kalangan lelaki sihat berbanding wanita dan lebih banyak dikesan dalam populasi Asia Tenggara,” jelas beliau.

Penyakit berkaitan Sindrom Brugada ini selalu dihidapi oleh golongan lelaki muda yang kelihatan sihat dan aktif.

Sementara itu, Dr. Raymond Ong Yu Ying dari Klinik Kardiologi, Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah di Serdang berkata, sindrom ini telah dikenalpasti pada tahun 1992 oleh dua doktor bersaudara, Dr. Pedro Brugada dan Dr. Josep Brugada dari Barcelona, Sepanyol.

“Simptom yang dialami oleh pesakit Sindrom Brugada ini tidak selalu jelas, tetapi ia tetap membawa risiko tinggi kepada individu yang menghidapnya.

“Antara simptom utama yang sering dikaitkan dengan sindrom ini adalah aritmia ventrikular iaitu keadaan di mana jantung berdegup terlalu cepat atau secara tidak teratur.

Dr. Pedro Brugada merupakan salah seorang individu yang membuat penemuan mengenai sindrom ini bersama adik beradiknya pada tahun 1992.

“Selain itu, pesakit mungkin mengalami pengsan secara tiba-tiba akibat penurunan aliran darah ke otak, perasaan berdebar-debar terutama selepas bersenam atau ketika demam dan dalam kes yang lebih teruk, kematian mengejut semasa tidur.

“Malah, bagi sesetengah individu juga, mereka mungkin mengalami masalah pernafasan atau kejang akibat kekurangan aliran darah ke otak,” jelas beliau.

Ditanya apakah punca penyakit ini, Dr. Raymond memberitahu, Sindrom Brugada biasanya disebabkan oleh mutasi genetik yang mempengaruhi fungsi saluran ion dalam sel-sel jantung.

“Saluran ion ini memainkan peranan penting dalam memastikan jantung berdegup secara normal.

“Faktor-faktor lain yang boleh meningkatkan risiko termasuklah sejarah keluarga dengan sindrom ini, demam tinggi dan penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti antidepresan atau antipsikotik yang boleh mengganggu fungsi saluran ion,” katanya.

Tambah beliau, bagi mendiagnosis Sindrom Brugada, beberapa ujian biasanya dijalankan.

Antaranya ialah elektrokardiogram (ECG) iaitu ujian utama untuk mengesan corak gelombang jantung yang tidak normal.

Jenis-jenis Sindrom Brugada yang boleh dikesan melalui ECG.

“Dalam sesetengah kes, doktor akan menggunakan ujian provokasi, di mana ubat tertentu diberikan untuk mencetuskan corak Brugada dalam ECG jika ia tidak kelihatan secara semula jadi.

“Selain itu, ujian genetik juga kadang-kadang dilakukan untuk mengenalpasti mutasi genetik yang berkaitan dengan sindrom ini,” katanya lagi.

Bagaimanapun, rawatan untuk Sindrom Brugada tertumpu kepada pengurusan risiko komplikasi serius seperti kematian mengejut.

“Salah satu rawatan utama adalah penggunaan implantable cardioverter defibrillator (ICD), iaitu alat yang ditanam di dalam badan untuk memantau dan membetulkan aritmia yang mengancam nyawa.

“Maknanya jika jantung pesakit dikesan terhenti atau tidak teratur, alat tersebut akan merenjat jantung agar ia kembali berdegup secara normal.

“Tetapi sebelum rawatan itu dilakukan, pesakit biasanya akan dinasihat untuk mengelakkan faktor-faktor pencetus seperti ubat-ubatan tertentu atau demam yang tidak dirawat.

“Dalam sesetengah kes, ubat seperti quinidine digunakan untuk mencegah aritmia dan pengurusan segera demam panas dengan suhu tinggi juga sangat penting,” tegasnya.

Bagi pesakit yang disahkan menghidap Sindrom Brugada, mereka perlu menjalani gaya hidup yang berhati-hati sebagai langkah pencegahan utama.

Pemeriksaan jantung secara berkala perlu dilakukan bagi memastikan seseorang individu terhindar daripada penyakit berkaitan jantung seperti Sindrom Brugada ini.

“Mereka disarankan untuk mengelakkan ubat-ubatan yang diketahui mencetuskan simptom dan mendapatkan rawatan segera jika mengalami demam.

“Pemeriksaan berkala dengan pakar kardiologi juga penting untuk memastikan keadaan mereka sentiasa terkawal,” ujar Dr. Raymond lagi.

Secara keseluruhannya, Sindrom Brugada adalah gangguan genetik yang serius tetapi boleh diuruskan dengan rawatan yang sesuai dan gaya hidup yang terkawal.

Bagi individu yang menunjukkan simptom seperti pengsan secara tiba-tiba, rasa berdebar-debar atau masalah pernafasan, adalah penting untuk mendapatkan penilaian perubatan dengan segera.

Dengan diagnosis awal dan rawatan yang betul, risiko komplikasi dapat diminimumkan dan kualiti hidup pesakit dapat ditingkatkan.

Berbalik kepada anak penulis, buat masa ini beliau masih menunggu temujanji susulan untuk membuat ujian pemantauan holter ECG sebelum rawatan lanjut ditentukan bagi penyakit Sindrom Brugada yang dihidapi.

Penulis bersama anak sulung ketika membawanya menjalani rawatan susulan di Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Ia merupakan alat yang merakam aktiviti elektrik jantung selama 24 jam atau lebih, bergantung kepada keperluan untuk memantau irama jantung dan mengenal pasti sebarang kelainan atau gangguan seperti aritmia.

Alat ini dipakai pada tubuh pesakit dalam bentuk mesin kecil yang dipasang dengan elektrod pada dada untuk merakam data ECG sepanjang tempoh pemantauan.

Pesan Dr. Raymond: “Ibu jangan risau. Abang pun jangan terlalu fikir sangat. Go with the flow. Teruskan hidup seperti biasa, cuma berhati-hati apabila sakit atau demam.”

Ya, sebagai umat Islam, sakit itu hakikatnya satu rahmat daripada Allah SWT buat hamba-Nya.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sentiasalah ujian itu menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan pada jasad, ahli keluarga dan harta bendanya sehinggalah dia bertemu Allah dalam keadaan tiada lagi satu dosa pun padanya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button