
Sindiket visa perubatan: 22 pegawai Imigresen dipanggil, 46 sudah dibuang kerja
KUALA LUMPUR – Seramai 22 pegawai Jabatan Imigresen dipanggil oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi membantu siasatan berhubung sindiket visa perubatan yang didakwa dikeluarkan kepada warga asing tanpa mematuhi prosedur ditetapkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran integriti dan sedia mengambil tindakan terhadap pegawai terlibat.
“Sepanjang 2022 hingga 2024, pihak pengurusan imigresen sudah mengambil tindakan tatatertib terhadap 241 pegawai manakala 46 individu telah dibuang kerja,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang meminta penjelasan mengenai status siasatan terhadap dakwaan salah laku berkaitan sindiket visa perubatan untuk warga asing.
Saifuddin berkata, sejak siasatan dimulakan, Jabatan Imigresen telah memberikan kerjasama penuh kepada EAIC dengan membekalkan maklumat serta dokumen yang diperlukan.
“Jabatan tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam salah laku ini.
“Semua pegawai dan kakitangan juga diingatkan supaya mematuhi akta, peraturan, prosedur operasi serta arahan yang berkuat kuasa,” katanya lagi.
Pada 8 Oktober tahun lalu, EAIC telah menjalankan siasatan di Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya, termasuk menyita 156 fail berkaitan permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan).
Sitaan itu dibuat susulan aduan mengenai pegawai Imigresen yang didakwa mengeluarkan pas berkenaan tanpa mengikut prosedur.
Susulan itu, EAIC menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat perkara tersebut mengikut subseksyen 17(1) Akta EAIC 2009 (Akta 700).
Saifuddin turut berkata, kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dalam isu ini dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang terbukti bersalah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |