
Sihat selepas nazak, misteri terminal lucidity
DALAM kehidupan di dunia ini, terdapat kejadian yang sukar difahami dan tidak mampu dijelaskan secara saintifik.
Salah satunya adalah fenomena yang dikenali sebagai terminal lucidity iaitu situasi di mana seseorang pesakit yang berada dalam keadaan kritikal atau telah lama menderita sakit, tiba-tiba kelihatan sihat bertenaga sebelum akhirnya meninggal dunia.
Itu kisah yang dialami seorang wanita muda yang tular di media sosial baru-baru ini.

Melalui satu video yang dimuatnaik di laman Facebook, wanita tersebut disahkan menghidap kanser paru-paru tahap akhir dan telah lama berjuang melawan penyakit berbahaya itu.
Bagaimanapun pada saat-saat akhir kehidupannya, dia yang sebelum itu tidak mampu bercakap dan tidak berselera untuk makan, telah mengidam banyak makanan.
Dengan suara yang kuat, dia meminta keluarganya untuk memesan pelbagai jenis makanan untuk dinikmati.
Walaupun terkejut, namun ahli keluarga tetap menunaikan permintaan wanita tersebut.
Beberapa jam kemudian selepas menjamah makanan yang dipesan, wanita itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir sekali gus meninggalkan keluarga dengan kesedihan emosi yang sukar dibendung.

Fenomena yang dikenali dalam dunia perubatan sebagai terminal lucidity itu sering berlaku dalam beberapa kes penyakit terminal atau kronik.
Ia merujuk kepada satu keadaan apabila seseorang yang menderita penyakit serius seperti demensia atau kanser, tiba-tiba menunjukkan kesedaran mental dan kejelasan yang luar biasa, seakan-akan mereka sudah sembuh, sebelum akhirnya meninggal dunia.
Fenomena ini kadang-kadang berlaku beberapa jam, hari atau bahkan hanya beberapa minit sebelum kematian dan sering kali menjadi satu pengalaman emosional yang mendalam bagi keluarga dan orang yang tersayang.
Video yang dipercayai berlaku di negara Indonesia itu, telah meraih 17 juta tontonan, 169,000 reaksi dan 3,900 komen.
“Seperti arwah bapa saya, sebelum meninggal dia mendadak sembuh dan makan banyak. Kami sekeluarga sudah bahagia, kami fikir papa akan sembuh, ternyata dia meninggal setelah sempat ‘menyelesaikan’ bekalan makanan terakhirnya,” komen Nindi Ayani.

Walaupun fenomena terminal lucidity ini tidak sepenuhnya difahami, ada teori yang mengaitkannya dengan perubahan fisiologi di otak semasa fasa akhir kehidupan.
Perubahan ini mungkin menyebabkan pesakit untuk tiba-tiba menunjukkan kesedaran yang tinggi, seperti mengenali ahli keluarga atau bercakap dengan jelas walaupun sebelumnya mereka dalam keadaan koma atau tidak sedarkan diri.
Fenomena ini memberikan ruang untuk pengajaran yang mendalam tentang kehidupan, kematian dan hubungan yang dibina dengan orang di sekeliling kita.
Bagi keluarga yang menyaksikan kejadian seperti ini, ia memberi satu peluang terakhir untuk berhubung dan merasakan kehadiran orang tersayang sebelum pemergiannya.
Apa yang pasti, situasi tersebut memberi satu pengalaman yang luar biasa, walaupun di tengah-tengah kesedihan, ia memberi kedamaian dan pengertian tentang kehidupan yang sementara di dunia ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |