Berita SemasaLuar Negara

Nahas pesawat tentera USA di Filipina, empat maut

MANILA – Sebuah pesawat kecil yang dikontrakkan untuk servis pemantauan di Filipina daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) terhempas di selatan Filipina semalam.

Kejadian mengorbankan kesemua empat individu di dalamnya termasuk seorang anggota tentera AS, menurut pengumuman Komando Indo-Pasifik AS.

“Pesawat tersebut menyediakan sokongan perisikan, pemantauan dan pengintipan atas permintaan sekutu kami di Filipina,” kata Komando Indo-Pasifik dalam satu kenyataan mengenai nahas di pulau Mindanao.

Laporan berita antarabangsa melaporkan tentera AS mengesahkan seorang anggota tenteranya dan tiga kontraktor pertahanan terkorban dalam insiden itu.

Identiti mereka yang terbunuh dalam pesawat Beechcraft Super King Air B300 itu belum didedahkan sementara menunggu pemberitahuan kepada keluarga masing-masing.

“Insiden berlaku semasa misi rutin dalam usaha kerjasama keselamatan AS-Filipina.

“Kami boleh mengesahkan tiada mangsa terselamat dalam nahas ini,” menurut kenyataan dikeluarkan.

Kontrak servis pertahanan melibatkan penempatan sebilangan anggota tentera AS secara bergilir-gilir di Filipina untuk memberi bantuan risikan kepada tentera negara itu dalam memerangi kumpulan pejuang yang dikaitkan dengan ISIS di Mindanao.

Tentera Filipina dalam satu kenyataan berkata, mereka tidak dapat mendedahkan maklumat mengenai nahas tersebut kerana perkara itu diklasifikasikan dan siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu laporan berita berkata, pesawat itu dikenal pasti oleh polis sebagai N349CA berdasarkan nombor ekor pesawat dan didaftarkan kepada firma pertahanan Metrea.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button