Berita Semasa

Kabinet tidak bincang isu 435 rakyat Malaysia berdepan pengusiran di AS

PUTRAJAYA – Kabinet tidak membincangkan dakwaan bahawa 435 rakyat Malaysia termasuk dalam 1.44 juta individu yang menerima arahan akhir pengusiran daripada penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebarang pertanyaan mengenai perkara itu boleh dirujuk kepada Wisma Putra.

“Mesyuarat Jemaah Menteri tidak membincangkan perkara ini tetapi saya minta untuk rujuk dengan Wisma Putra,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.

Terdahulu, laporan media mendedahkan bahawa 435 rakyat Malaysia didakwa berada dalam doket bukan tahanan ICE dan menerima arahan akhir pengusiran selepas Donald Trump dilantik sebagai Presiden AS untuk penggal kedua.

Bagaimanapun, ICE memaklumkan bahawa warga asing yang menerima arahan pengusiran masih boleh mendapatkan perlindungan melalui suaka di AS atau di bawah Konvensyen Menentang Penyeksaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan semalam menegaskan bahawa Kedutaan Malaysia di Washington belum menerima sebarang notis rasmi daripada pihak berkuasa AS mengenai perkara itu.

“Wisma Putra akan terus memantau situasi ini secara rapi dan akan mengeluarkan perkembangan terkini sekiranya perlu,” memetik laporan HM semalam.

Dalam perkembangan lain, Fahmi turut mengesahkan, Kabinet tidak membincangkan secara khusus mengenai pembubaran unit Jabatan Kehakiman (DoJ) AS yang memainkan peranan dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan bahawa Kleptocracy Asset Recovery Initiative (KARI) dan Task Force Klepto Capture di bawah DoJ telah dibubarkan, seperti diumumkan oleh Peguam Negara AS, Pam Bondi, menerusi e-mel yang dihantar kelmarin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button