
Senarai syarikat baharu diberi lesen pemeriksaan kenderaan diumum esok
KUALA LUMPUR – Senarai syarikat baharu yang diberi kelulusan membuka Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) akan diumumkan esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah ini susulan keputusan tidak lagi menjadikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sebagai badan tunggal yang menawarkan perkhidmatan tersebut.
“Kita mengharapkan apabila kita membuka pasaran ini, adanya persaingan dari segi perkhidmatan, ia akan meningkatkan mutu pemeriksaan kenderaan supaya kita sama-sama pastikan integriti pemeriksaan kenderaan ini akan dapat ditingkatkan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Anthony berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin mengetahui sejauh mana amalan monopoli yang dibiarkan kepada satu syarikat sejak 1994 telah menyebabkan kewujudan sindiket yang bersekongkol untuk meluluskan kenderaan yang tidak selamat.
Loke sebelum itu berkata, pihaknya telah selesai menilai permohonan yang dikemukakan, termasuk meneliti pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan termasuk keupayaan kewangan serta melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan motor bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.
Tambahnya ketika ini, PUSPAKOM tidak lagi memiliki konsesi sebaliknya hanya lesen untuk beroperasi bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan motor.
“Saya tidak mahu menyimpulkan bahawa sindiket atau isu rasuah ini berhubung kait dengan dasar monopoli. Tetapi secara umumnya, kita rasa bahawa kalau sesuatu industri itu ada unsur monopoli, ia kadang kala akan menjejaskan mutu perkhidmatan. Itu sebabnya kita menggalakkan ada persaingan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |