
Selangor, Pulau Pinang negeri terkini pakai Akta 672 – Nga Kor Ming
PUTRAJAYA – Jemaah menteri telah membuat keputusan dasar untuk menerima Selangor dan Pulau Pinang sebagai negeri terkini yang menerima pakai Akta 672 bagi meningkatkan tahap perkhidmatan pembersihan awam di negara ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, keputusan dasar itu telah diluluskan dan kini dalam proses rundingan lanjut bagi memperincikan butiran pelaksanaannya.
“Kelulusan dasar telah pun diperoleh dan jemaah menteri mengalu-alukan supaya negeri-negeri lain juga mengambil langkah yang sama,” katanya dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kebersihan adalah keutamaan kerajaan dalam memastikan persekitaran yang selesa dan selamat untuk rakyat.
“Wawasan saya jelas. Kebersihan adalah separuh daripada keimanan, kebersihan adalah kewajipan kita semua. Oleh itu, saya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara paling bersih, indah dan selamat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kementeriannya akan menggembleng segala tenaga bagi merealisasikan matlamat tersebut, termasuk memperkasakan sistem pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan pembersihan awam di seluruh negara.
Beliau berharap lebih banyak negeri akan menerima pakai Akta 672 bagi memastikan mutu kebersihan di negara ini terus ditingkatkan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |