
Rumah pengasas Bangladesh dibakar penunjuk perasaan
DHAKA – Kediaman pengasas Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman yang merupakan bapa kepada bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina dibakar kumpulan penunjuk perasaan ketika beliau berucap secara dalam talian malam tadi.
Saksi melaporkan ribuan individu berkumpul di hadapan rumah yang sudah diubah menjadi muzium peringatan di Dhanmondi, di sini sejak petang semalam sebagai protes terhadap Hasina.
Tunjuk perasaan tersebut merupakan sebahagian daripada rali “Perarakan Jentolak” yang digerakkan secara dalam talian.
Hasina dalam ucapannya melalui satu program anjuran sayap pelajar menyeru rakyat Bangladesh untuk bangkit menentang rejim pemerintah ketika ini.
“Mereka belum cukup kuat untuk menghancurkan bendera negara, perlembagaan dan kemerdekaan yang kita peroleh dengan pengorbanan jutaan nyawa.
“Mereka boleh merobohkan bangunan, tetapi tidak sejarah. Namun mereka perlu ingat, sejarah akan membalas dendam,” katanya merujuk kepada kerajaan semasa pimpinan penerima Hadiah Nobel, Muhammad Yunus.
Penunjuk perasaan dilaporkan merosakkan mural Sheikh Mujibur Rahman di dinding kediaman itu sebelum meroboh dan membakar rumah bersejarah berkenaan.

Kediaman beralamat di 32 Dhanmondi itu menjadi simbol penting dalam sejarah Bangladesh, kerana Sheikh Mujib memimpin gerakan autonomi dari situ sebelum pembunuhannya dalam rampasan kuasa tentera pada 15 Ogos 1975.
Pada tahun lalu, rumah itu turut dibakar ketika rejim pimpinan Hasina tumbang sekaligus memaksanya melarikan diri ke India bersama adiknya, Sheikh Rehana.
Dalam ucapannya, Hasina mengimbau bagaimana rumah berkenaan pernah diceroboh tentera Pakistan ketika Perang Kemerdekaan 1971, tetapi tidak dimusnahkan.
“Hari ini, rumah ini dirobohkan. Apa dosanya? Mengapa mereka takut pada rumah ini?” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, saksi berkata, pasukan tentera yang cuba meredakan keadaan diejek oleh penunjuk perasaan.
Pemimpin Gerakan Pelajar Anti-Diskriminasi, Abdul Hannan Masud, menyeru agar semua kediaman bekas ahli politik Awami League (pimpinan Hasina) dimusnah dan digantikan dengan bangunan baharu.
Dalam ucapannya, Hasina menuduh Muhammad Yunus menggunakan pelajar untuk menggerakkan protes dengan tujuan merebut kuasa.
Penasihat Keselamatan Dalam Negeri, Leftenan Jeneral (Bersara) Md Jahangir Alam Chowdhury, berkata, kerajaan sementara sedang berusaha untuk mengekstradisi Hasina dan penyokongnya dari India.
Hasina, 77, menetap di India sejak Ogos tahun lalu selepas melarikan diri susulan protes besar-besaran pelajar yang menumbangkan pemerintahan Awami League selama 16 tahun.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |