
Pemuda DAP bantah garis panduan muslim hadir ke majlis bukan muslim
KUALA LUMPUR – Pemuda DAP (DAPSY) membantah pelaksanaan Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan dan Upacara Kematian Orang Selain Islam serta Kunjungan dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam.
Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong berkata, pihak berkenaan diseru untuk mengekalkan status quo bagi perihal tersebut.
“Panduan seperti ini yang secara tidak langsung menyekat usaha pemahaman antara satu sama lain hanya akan menatijahkan jurang yang lebih besar antara masyarakat muslim dan bukan muslim di negara ini.
“Sejak kemerdekaan, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya tidak pernah timbulnya apa-apa isu ekoran kehadiran dan penglibatan kaum mana-mana pun dalam perayaan dan upacara sebegini.
“DAPSY percaya bahawa rakyat Malaysia, sama ada muslim atau bukan muslim, mempunyai kebijaksanaan dan kematangan untuk berinteraksi secara harmoni tanpa perlu campur tangan berbentuk garis panduan tambahan daripada mana-mana pihak berkuasa,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Katanya, selama ini, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sering hadir dalam majlis perayaan pelbagai kaum dan tujuannya bukan untuk beribadah tetapi untuk berdialog dengan komuniti masyarakat yang berbeza demi mengukuhkan perpaduan nasional.
Dalam pada itu beliau turut memuji pendekatan diambil oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang pernah berkenan berangkat merasmikan Festival Perarakan Chingay di Johor dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang akan berangkat ke Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen.
“Kebijaksanaan, keterbukaan dan kesederhanaan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor telah membuktikan bahawa model hubungan antara muslim dan bukan muslim kini adalah harmoni dan tepat.
“Dengan menggunapakaikan acuan dan contoh yang ditunjukkan Duli Yang Maha Mulia Sultan, rakyat pelbagai kaum dan agama telah lama menyambut perayaan masing-masing dengan sikap terbuka dan penuh rasa hormat tanpa menimbulkan sebarang konflik.
“Keberlangsungan program-program tersebut yang berlangsung di rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja tidak menggugat kepercayaan agama mana-mana pihak, malah menunjukkan nilai keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat yang memiliki latar belakang yang heterogen,” katanya.
Sehubungan itu katanya, DAPSY menegaskan bahawa garis panduan seperti itu tidak diperlukan kerana hanya akan menambahkan karenah birokrasi yang membebankan penganjur.
Pada masa sama katanya, pelaksanaan garis panduan sedemikian akan mengurangkan peluang bagi masyarakat yang berasal daripada latar belakang yang berbeza untuk saling memahami budaya antara satu sama lain, sekali gus menjarakkan hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia.
“DAPSY dengan tegasnya menyeru pihak berkenaan untuk mengekalkan status quo dan membatalkan pelaksanaan garis panduan tersebut.
“Sebaliknya lebih banyak program kebudayaan yang melibatkan pelbagai kaum dan agama perlu dianjurkan bagi menggalakkan rakyat memahami serta menghormati perbezaan budaya masing-masing. Melalui interaksi yang terbuka dan ikhlas, barulah hubungan silaturahim antara masyarakat dapat terus diperkukuhkan demi menjamin keharmonian serta perpaduan negara.
“Intiha, DAPSY menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk memperkenalkan garis panduan baharu. Peraturan undang-undang sedia ada, protokol serta persefahaman sosial yang telah terbentuk selama ini sudah memadai untuk mengekalkan interaksi yang baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |