Berita SemasaDalam Negeri

Pembangunan semula Pasar Dato’ Keramat disegerakan – Menteri Wilayah

KUALA LUMPUR – Projek pembangunan semula Pasar Dato’ Keramat akan dimulakan seawal suku pertama tahun ini bagi memastikan keadaan pasar yang lebih selamat dan kondusif.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, isu pembangunan semula pasar itu merupakan isu lama yang tidak boleh dibiarkan berlarutan dan perlu diselesaikan segera.

Menurutnya, selepas lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke pasar itu pada Julai tahun lalu, beberapa langkah segera telah diambil termasuk menaik taraf tandas serta memperbaiki sistem pendawaian elektrik.

“Bangunan pasar ini sudah terlalu lama dan uzur, malah telah menjangkau usia 50 tahun. Ia bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan kepada peniaga dan pengunjung, malah turut mengundang risiko keselamatan termasuk kejadian kebakaran sebelum ini.

“Sehubungan itu, saya berpandangan pembangunan semula pasar ini adalah langkah terbaik bagi memastikan pasar ini lebih selamat, bersih dan moden demi kesejahteraan semua,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya selepas tinjauan ke Pasar Dato’ Keramat, semalam.

Beliau berkata, pembangunan semula pasar itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan aktiviti perniagaan sedia ada tidak terjejas.

“Saya telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyegerakan proses bancian dalam tempoh dua minggu bagi memuktamadkan jumlah peniaga di pasar ini.

“Dengan langkah ini, perancangan dan tindakan seterusnya dapat dimulakan segera bagi memastikan projek ini tidak lagi tertangguh,” katanya.

Dr. Zaliha turut menegaskan bahawa pembangunan semula pasar itu perlu mengambil kira keperluan peniaga dan memastikan fasiliti yang disediakan lebih moden serta lengkap.

“Kita mahu Pasar Dato’ Keramat menjadi sebuah pasar yang lebih selesa, bersih dan selamat, selain mampu meningkatkan pendapatan peniaga dalam jangka panjang,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button