
Kerajaan kenal pasti enam isu tatakelola dalam GLC, GLIC, CLBG
Ambil langkah laksana sistem e-SelfAudit bagi tangani kelemahan
PUTRAJAYA – Kerajaan mengenal pasti enam isu tatakelola dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara kelemahan dikenal pasti termasuk kelemahan pemantauan terhadap pembentangan dan laporan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) serta pelan strategik syarikat.
“Kegagalan ketua pegawai eksekutif memainkan peranan dalam mengurus, menyelia dan mengawasi operasi perniagaan bagi mencapai matlamat atau objektif penubuhan syarikat induk termasuk anak-anak syarikat tersebut,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan mengambil beberapa langkah, antaranya menggunakan sistem e-SelfAudit berasaskan kecerdasan buatan (AI) bertujuan menangani beberapa kelemahan seperti kegagalan mengurus dan menyelia operasi syarikat serta kerugian yang berterusan.
“Lebih penting, sistem ini dibangunkan secara dalaman melalui Projek Pendigitalan JAN tanpa implikasi kos tambahan kepada kerajaan,” katanya lagi.
Pembangunan sistem ini telah dimulakan sejak tahun lepas, dengan pelaksanaan kaedah pengauditan rintis menggunakan sistem tersebut dimulakan sejak November 2024.
Inisiatif ini membolehkan proses pengauditan dilaksanakan dengan lebih cekap dan sistematik ke atas 1,856 syarikat kerajaan yang diwartakan, dan pada masa yang sama memastikan fungsi ‘semak dan imbang’ dapat terus diperkukuh bagi meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti pengurusan wang awam negara.
Pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang berkuat kuasa pada 1 November tahun lalu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |