
Isu perolehan DBKL: SPRM teliti dokumen, menteri enggan ulas
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau berkata, kementeriannya sedia bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan siasatan berjalan lancar.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan saya tidak mahu mengulas lanjut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Wujud.
Sebelum itu, Zaliha memaklumkan siasatan dalaman mengenai isu perolehan yang dikaitkan dengan pengarah filem terkenal, Datuk Afdlin Shauki dijangka selesai minggu ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini sedang menyemak semua dokumen berkaitan perolehan projek bernilai RM4 juta yang diberikan oleh DBKL.
Menurutnya, SPRM telah memperoleh akses kepada dokumen berkaitan, termasuk minit mesyuarat berkaitan proses pemberian projek tersebut.
“Penyiasat kami baru sahaja menerima dokumen berkaitan dan sedang menelitinya bagi mengenal pasti unsur jenayah di bawah Akta SPRM,” katanya pada sidang media hari ini.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses perolehan DBKL, khususnya membabitkan projek bernilai jutaan ringgit.
Orang ramai kini menanti hasil siasatan bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan dalam pemberian kontrak tersebut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |