Berita SemasaLuar Negara

Arab Saudi nafi dakwaan Trump, normalisasi dengan Israel tak akan berlaku tanpa Palestin merdeka

RIYADH – Arab Saudi menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kononnya Riyadh telah menggugurkan tuntutan mengiktiraf Palestin sebagai negara yang merdeka.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan menegaskan, normalisasi hubungan dengan Israel tidak akan berlaku tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

“Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dengan jelas dan tanpa ragu-ragu telah mengulangi pendirian ini dalam titah ucapan baginda pada pembukaan sesi pertama penggal kesembilan Majlis Syura pada 18 September 2024,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan semalam.

Tambah kenyataan itu, Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi, sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan pada Sidang Kemuncak Arab-Islam di Riyadh pada 11 November tahun lalu.

“Kerajaan Arab Saudi menekankan keperluan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 serta menamatkan pendudukan Israel ke atas wilayahnya.

“Arab Saudi menegaskan bahawa pendirian ini tidak boleh dirunding dan tidak boleh dikompromi.

“Mencapai keamanan yang adil dan berkekalan adalah mustahil tanpa rakyat Palestin memperoleh hak-hak mereka yang sah sebagaimana telah dijelaskan sebelum ini kepada kedua-dua pentadbiran AS terdahulu atau semasa,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Trump dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House, Washington mencadangkan satu visi untuk pemilikan jangka panjang serta pembangunan semula Gaza.

Pertemuan kedua pemimpin sekutu rapat itu adalah bagi membincangkan usaha mengekalkan gencatan senjata di Gaza serta perjanjian normalisasi Israel-Arab Saudi.

Pada masa sama, Trump turut menyeru Jordan, Mesir dan negara-negara Arab lain untuk menerima penduduk Gaza.

Dakwa trump, rakyat Palestin tidak mempunyai pilihan selain meninggalkan wilayah pantai tersebut yang perlu dibangunkan semula selepas hampir 16 bulan konflik dahsyat antara Israel dan kumpulan Hamas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button