
Aga Khan tinggalkan legasi kepimpinan, seni bina dan sifat dermawan
PEMERGIAN pemimpin spiritual bagi komuniti Islam Syiah Ismailiyah, Putera Karim Aga Khan IV pada usia 88 tahun, 4 Februari lalu meninggalkan satu legasi mendalam buat dunia.
Pengumuman rasmi daripada Aga Khan Development Network (AKDN) iaitu badan amal yang diasaskannya, memaklumkan beliau ‘meninggal dunia dengan aman’ di Lisbon, Portugal dikelilingi oleh keluarganya.
Menerusi satu hantaran di Facebook Zainuddin Omar, beliau memperkatakan tentang kematian pemimpin tersebut dan jasanya kepada dunia.

“Putera Karim Aga Khan merupakan imam warisan ke-49 bagi penganut Islam Ismailiyah yang menelusuri salasilahnya terus kepada Nabi Muhammad SAW,” tulis Zainuddin.
Diilahirkan pada 13 Disember 1936 di Geneva, Switzerland, Aga Khan dilantik menggantikan datuknya sebagai imam pada usia 20 tahun sekali gus memikul tanggungjawab besar untuk membimbing kira-kira 15 juta pengikut Ismailiyah di seluruh dunia.
Aga Khan dikenali sebagai seorang dermawan yang telah memperjuangkan pendidikan, pembangunan budaya dan kebajikan masyarakat melalui badan amalnya.
AKDN yang beliau asaskan, mengendalikan ratusan hospital, sekolah dan projek pembangunan, terutamanya di negara-negara membangun.

Institusi ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat miskin dan memelihara warisan budaya Islam di seluruh dunia.
Antara inisiatif besar beliau termasuk Aga Khan Foundation, Aga Khan University di Karachi, Pakistan dan Aga Khan Program for Islamic Architecture di Harvard University dan Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Melalui Aga Khan Trust for Culture, beliau juga berperanan dalam memulihkan tapak sejarah penting, seperti Makam Humayun di New Delhi, India.
Selain itu, Anugerah Seni Bina Aga Khan yang diperkenalkan oleh beliau, menjadi platform tahunan untuk mengiktiraf reka bentuk seni bina yang memberi impak kepada kehidupan masyarakat Islam moden.
Hunza Valley di Pakistan adalah salah satu kawasan yang paling terkesan oleh kepimpinan Aga Khan.

Kawasan ini yang majoritinya terdiri daripada penganut Ismailiyah telah berkembang pesat dari segi pendidikan dan infrastruktur.
Penduduk Hunza berbanding kawasan lain seperti Baluchistan, menikmati tahap pendidikan yang tinggi tanpa diskriminasi jantina.
Bagi masyarakat di sana, Aga Khan bukan sahaja seorang imam tetapi juga simbol inspirasi.
Malah, gambar beliau dapat dilihat di premis rumah dan perniagaan, mencerminkan penghormatan mendalam mereka terhadapnya.
Dilahirkan di Switzerland, Aga Khan memiliki kewarganegaraan British dan menetap di sebuah chateau di Perancis.

Kekayaan beliau yang dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM4.4 bilion) pada tahun 2008 oleh Forbes, berasal daripada pelbagai kepentingan perniagaan, termasuk pembiakan kuda lumba yang terkenal.
Walaupun beliau menjalani kehidupan mewah dengan memiliki pulau di Bahamas, kapal layar mewah dan jet peribadi, sumbangannya kepada masyarakat dunia tetap menjadi legasi yang tiada tandingan.
Sebagai imam, Aga Khan turut menerima zakat daripada setiap pendapatan pengikut Ismailiyah.
Dana ini digunakan untuk menyokong pelbagai inisiatif pendidikan, kebudayaan dan pembangunan yang dikendalikan oleh AKDN menjadikan komuniti Ismailiyah antara yang paling maju dari segi ekonomi dan sosial.
Pemergian Aga Khan merupakan kehilangan besar. Sumbangan beliau dalam memperjuangkan pendidikan, kebajikan dan pembangunan budaya menjadi inspirasi kepada banyak pihak.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |